PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2008

KHAIRUDDIN TAUKE STESEN MINYAK

Khairuddin tauke stesen minyak
Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


“TIADA yang menarik mengenai diri saya tetapi kalau nak cerita hal syarikat, tiada masalah,” kata Pengarah Urusan Smart Stream Resources Sdn Bhd (SSRSB), Mohd Khairuddin Saimon, merendah diri apabila diminta bercerita mengenai kisah peribadinya.

Namun selepas ‘dipujuk’ dua rakan kongsi, Ahmad Rosllan Hasan dan Salahuddin Yusoff, anak kelahiran Tangkak, Johor itu tidak mampu menolak, malah dalam ‘segan’ bercerita, sesi pertemuan berlanjutan hampir empat jam apabila dia membuka bicara.

Bagi Mohd Khairuddin, pencapaiannya belum layak digembar-gemburkan, namun melihat kejayaan beliau dan rakan membuka 56 stesen minyak mini di seluruh negara, beliau dikira layak dikategorikan antara usahawan Bumiputera yang berjaya.

SSRSB, syarikat milik penuh Bumiputera, membangunkan 56 stesen minyak di bawah jenama Smart yang beroperasi di Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan).

Dalam tempoh lima tahun atau menjelang 2012, SSRSB mensasarkan 100 stesen minyak di 380 kawasan Felda dan lebih 100 Felcra, dengan pengenalan tiga reka bentuk stesen meliputi anggaran kos kurang RM200,000 (Jenis C); RM250,00 hingga RM350,000 (Jenis B) dan RM500,000 ke RM600,000 (Jenis A).

Kerana itu Mohd Khairuddin kerap turun padang, terutama ke tapak projek di seluruh negara, untuk memastikan setiap pembinaan dan perancangan berjalan lancar.

“Selain turun padang, kami membuat kajian terperinci di sesuatu kawasan, sama ada bersesuaian atau tidak untuk dibangunkan stesen minyak, di samping memilih pengusaha berkelayakan sebelum laporannya diserahkan kepada kerajaan untuk kelulusan,” katanya.

Industri minyak dengan diri Mohd Khairuddin boleh dikatakan bagai aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan. Menariknya, dia memulakan kerjaya itu dari bawah.

Selepas tamat persekolahan, dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman di Muar. Kerana mahu berubah, dia berhenti kerja dan berhijrah ke Temerloh, Pahang untuk bekerja bersama abang yang membekalkan minyak diesel untuk ladang selain wakil pengedar Petronas.

“Selepas tamat sekolah, ramai rakan saya melanjutkan pelajaran, tetapi saya tidak berpeluang. Saya mohon kerja di Muar sebelum bekerja dengan abang,” katanya.

Di kampung, Mohd Khairuddin aktif dalam aktiviti nyanyian, malah dia bersama rakan pernah menubuhkan kumpulan rock ‘Era’ yang diundang membuat persembahan pada majlis perkahwinan, malah menyertai pertandingan Festival Rock Junior.

Namun ia tidak kekal lama selepas beliau yang bermain gitar utama berhijrah ke Pahang. Begitupun, kemahiran memetik gitar masih ada.

Melalui syarikat abangnya, dia diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemasaran dan beberapa tahun kemudian dia membuka sebuah cawangan yang dikongsi bersama abang di Muadzam Shah dalam industri pengedaran bahan petroleum.

Selepas mengutip pengalaman beberapa tahun, Mohd Khairuddin mengorak langkah menubuhkan syarikat sendiri ketika usianya 23 tahun pada 1991.

“Syarikat yang ditubuhkan di Muadzam Shah ini saya kongsi dengan seorang rakan bermodalkan RM50,000. Kami membekalkan minyak diesel untuk sektor peladangan di sekitar Pahang,” katanya.

Selepas memiliki syarikat sendiri, cabaran menjelma. Ketika itu beliau menjalankan perniagaan seorang diri sama ada membawa lori, mengambil minyak pelincir dan menghantarnya kepada pelanggan.

“Pesanan pertama diterima daripada sebuah kilang milik Tabung Haji di Kota Bahagia sebanyak tujuh dram diesel. Ketika itu saya sewa lori satu tan untuk ambil minyak pelincir di depot dan hantar ke kilang.

“Hampir empat bulan saya lakukan sendirian, malah lori boleh dikatakan pejabat dan rumah kedua. Kebanyakan pesanan diterima dari bahagian Pahang Tenggara, saya bekerja tidak kira siang atau malam, sama ada menghantar bekalan atau mengutip bayaran,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, pernah di dalam poketnya hanya ada RM5 dan dia perlu bijak menggunakannya, sama ada untuk membeli makanan atau mengisi minyak.

Selain itu, katanya, tidur dan makan di dalam lori di tepi jalan, meminjam wang rakan berjumlah RM10,000 serta lori kehabisan minyak antara peristiwa yang mewarnai hidupnya ketika itu.

“Walaupun susah masa itu, saya seronok, malah tidak pernah menyesal atau putus asa terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Begitupun, syarikat diusahakan itu tidak kekal lama apabila pada 2002 beliau mengambil keputusan mengundur diri kerana wujud masalah dalaman.

Namun, rantaian hubungan yang terjalin sebelum itu menyatukannya dengan Ahmad Rosllan dan Salahuddin, sekali gus tiga sekawan itu mengambil keputusan menubuhkan SSRSB pada 2002 yang mendapat sokongan bekalan petroleum daripada Esso Malaysia Bhd.

“Saya kenal Salahuddin ketika dia bekerja di Petronas sebagai jurutera perkhidmatan teknikal, manakala Ahmad Rosllan pula dalam bidang alat ganti kenderaan dan perpaipan. Kepakaran mereka digabungkan di SSRSB,” katanya.

Melalui syarikat itu, mereka memohon lesen untuk membekalkan bahan petroleum kepada stesen minyak luar bandar sebelum kerajaan meluluskannya pada 2003 melalui lesen PDA 7 (Petroleum Development Act).

Stesen pertama dibangunkan ialah di Felda Bukit Aping Timur, Johor sebelum meningkat sehingga memiliki 56 stesen di seluruh negara pada hari ini.


NAMA: Mohd Khairuddin Saimon
USIA: 39 tahun
LAHIR: 26 Oktober 1968 di Tangkak, Johor
JAWATAN: Pengarah Urusan Smart Stream Resources Sdn Bhd (SSRSB)
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Ledang, Tangkak, Johor; Sekolah Menengah Ledang, Tangkak, Johor
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada sembilan beradik


SUMBER: HARIAN METRO, 03 OGOS 2008

2 ulasan:

mesti gempak berkata...

saya tertarik dengan membaca kisah hidup en.din. jatuh bangun perniagaan,perkara biasa cik din. dan saya sendiri merasai begitu ke atas perniagaan saya.walau bagai mane pun saya masih sabar menunggu rezeki yang akan datang.bisnes saya berkonsep kan makanan,sayingan dan dugaan bagai kan kawan kiri dan kanan.sehingga saya terfikir adakah syarikat saya akan muflis.walau pun dengan keadaan bisnes saya sekarang dalam hampir lemas,saya cuba untuk bertahan,sebab saya sayang kan bisnes saya sejak 2003 lagi..kisah saya ini,bukan kerana ingin kan bantuan kewangan dari cik din..tetapi ingin saya bekerja dgn cik din,walau saya tiada pengalaman dalam bidang bisnes yang besar macam cik din,saya yakin saya boleh belajar dengan cik din..wat pe saya nak malu untuk saya yang sampan yang kecil,menghampiri ferry cik dik din yang besar..jika cik din berminat boleh hantar pesan di email saya = danganum1981@gmail.com

shilaseli berkata...

Salam..sy amat tetarik n truja dgn pjalanan hdup en din....dan susah dan pyah tersbut sy pernah lalui walau situasi yg agak berbeza...sy berniaga dlm bdang textile...dan igin mencuba membuka petrolpam mini d kampung saya iaitu felda di kedah...ini krn kesukaran pnduduk untk mgisi petrol krn petropam yg jauh dr kwasan tersebut.....bolehkah en din memberi bimbingan n tunjuk ajar kpg sy ...sy ada sedikit modal utk bmula scara kecil2lan insha Allah.....shilaseli@gmail.com