PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2008

RAKYAT PERLU PERTAHAN KEMERDEKAAN - MB

Rakyat perlu pertahan kemerdekaan - MB

MUAR 29 Ogos - Rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu berpegang kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa negara memperoleh kemerdekaan bagi memastikan ia dapat dipertahankan untuk generasi masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan kesenangan, kemajuan dan pembangunan pesat yang dikecapi pada masa ini kerana ada pihak lain kini hanya menunggu masa sesuai untuk cuba menjajah semula negara yang telah 51 tahun merdeka.

Menurutnya, apa yang menyedihkan sekarang, terdapat suara-suara terutamanya generasi muda kini yang menganggap mereka tidak lagi terikat dengan persetujuan 51 tahun dahulu kerana zaman ini sudah menempuhi arus globalisasi dan bukannya untuk terus mempertahankan tanah air.

"Jika itu pemikiran rakyat, kita tersilap kerana kemajuan dan pembangunan pesat sesebuah negara belum dapat menjamin ia merdeka selamanya dengan mengambil contoh Melaka yang suatu ketika dahulu adalah empayar agung serta maju tetapi dalam sekelip mata kerajaan itu runtuh apabila Portugis menjajah pada 1511," katanya melancarkan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim Dewan Undangan Negeri Serom di padang awam Taman Serom Utama di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kemerdekaan DUN Serom kepada Alias Abdul Ghani, 82, salah seorang yang terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di Johor suatu ketika dahulu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir; wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat setempat kawasan itu.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 Ogos 2008

Tiada ulasan: