PENGUNJUNG SETIA

10 Ogos 2008

KONTRAKTOR DIGESA PELIHARA INTEGRITI

Kontrakor digesa pelihara integriti

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Abdul Ghani Othman

LEDANG 9 Ogos - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menggesa semua kontraktor di negeri ini supaya memanfaatkan setiap projek yang diterima serta menjaga maruah masing-masing dengan tidak melibatkan diri dalam soal ketirisan dalam projek-projek mereka.

Menurut beliau, sebagai satu profesion yang dipandang tinggi dalam masyarakat, kontraktor perlu menjaga integriti masing-masing agar tidak terjebak dalam amalan menyerahkan projek kepada pihak lain selepas mendapat kepercayaan melaksanakan projek itu.

Beliau memberitahu, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kenaikan harga bahan-bahan binaan berikutan pasaran ekonomi di seluruh dunia ketika ini, kontraktor perlu menyemai tekad untuk bersaing dalam suasana yang sihat tanpa anasir-anasir negatif seperti ketirisan projek untuk berjaya.

"Masalah ketirisan projek yang sering dihadapi oleh kontraktor seboleh-bolehnya perlu dielakkan dalam kehidupan seharian mereka, sebaliknya mereka perlu menghargai setiap projek yang diberikan untuk dilaksanakan sebaik mungkin.

"Saya percaya dalam semua profesion termasuk kontraktor, amalan menjaga integriti atau maruah masing-masing perlu diteruskan. Oleh itu, setiap projek yang diterima perlu dilaksanakan dengan penuh bermaruah," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-11 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Johor di Taman Negara Johor di Gunung Ledang di sini semalam.

Menurut Abdul Ghani, kerajaan negeri sentiasa menyediakan peluang-peluang projek kepada kontraktor bumiputera dan sebahagian daripadanya diberikan kepada kontraktor kelas F yang terdapat di negeri ini.

Sebagai contoh, katanya, pembangunan Iskandar Malaysia yang sebelum ini dikatakan kurang memberi kelebihan kepada kontraktor tempatan, sebenarnya tidak berlaku.

"Saya selaku pengerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) telah membuat semakan dengan peruntukan berjumlah RM3 bilion untuk kerja-kerja pembinaan kemudahan infrastruktur di wilayah itu.

"Daripada semakan saya terhadap projek-projek membina simpang bertingkat, pelebaran jalan, pembinaan jalan-jalan baru dan pembersihan sungai yang dikeluarkan, 60 peratus daripadanya ditender kepada kontraktor bumiputera," jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu mengatasi beban kenaikan harga barang termasuk bahan binaan dengan mengadakan perbincangan mengenai langkah-langkah perlu untuk mengekalkan harga bahan-bahan tersebut.

Usaha itu, kata Abdul Ghani, dibuat bagi meringankan beban semua rakyat dan kontraktor, supaya tiada projek-projek yang terbengkalai.

Sumber: Utusan Malaysia, 10 Ogos 2008

Tiada ulasan: