PENGUNJUNG SETIA

05 Ogos 2008

KHIDMAT WiFi PUSAT SUMBER

Khidmat WiFi pusat sumber

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Muar, bukan sahaja mempunyai ruang bacaan yang luas malah turut menyediakan khidmat Internet tanpa wayar untuk kemudahan pelajar, guru dan orang ramai.
LEDANG 4 Ogos - Kewujudan pusat sumber atau perpustakaan di setiap sekolah di negara ini semakin banyak selari dengan kemajuan yang dikecapi dalam sistem pendidikan negara.

Pusat sumber kini bukan sahaja berperanan sebagai tempat pelajar meminjam buku rujukan malah ia juga mampu menjadi tempat rujukan guru dan pelajar serta orang ramai, khususnya dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Sebagai contoh, pusat sumber di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu, dekat sini kini mampu menyediakan perkhidmatan wayarles untuk kemudahan sesiapa sahaja yang ingin menggunakan kemudahan itu.

Bertempat di sekolah tersebut, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) baru-baru ini mengadakan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah selama tiga hari bermula 28 Julai.

Objektif program tersebut adalah untuk meningkatkan taraf pengurusan pusat sumber secara keseluruhan terutamanya dalam pengurusan bahan bacaan, fizikal iaitu susun atur dan keceriaan serta sistem pentadbirannya.

Majlis perasmian penutup program itu yang padat dengan atur cara dan program bagi menjana pembangunan pusat sumber sekolah itu telah disempurnakan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Muar, Ramli Abdul Samat yang mewakili Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah BTPN Johor, Ishak Mahbob dan Pengetua SMK Tengku Temenggong Ahmad, Suradi Sarikon.

Dalam ucapannya, Ramli berharap program itu dapat menjadi motivasi kepada pentadbir sekolah untuk mewujudkan pusat sumber yang kondusif dan mesra pengguna dengan sokongan guru penyelaras.

"Prasarana ICT di setiap sekolah kini telah dipertingkatkan lagi dengan adanya pemasangan sistem komunikasi tanpa wayar atau hot spot.

"Sehubungan itu, jabatan berharap kemudahan ini akan menjadikan persekitaran sekolah sebagai pusat sehenti kepada pelajar, guru dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat menggunakan hujung jari," katanya.

Pusat sumber SMK Tengku Temenggong Ahmad kini beroperasi di aras 4 bangunan sekolah sejak sekolah itu mula dibuka pada tahun 1965.

Ia menyediakan lebih 7,000 bahan bacaan untuk kemudahan pelajar serta kini mempunyai kemudahan ICT tanpa wayar di persekitaran kawasan sekolah tersebut.

Sepanjang tiga hari berlangsung Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah itu, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk, sesi ceramah dan taklimat berhubung ICT untuk 30 peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar sekolah itu.

Program seperti, menurut Ramli, mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber di kalangan guru dan pelajar sejajar dengan keperluan pendidikan dan aplikasi ICT masa kini.

"Selain itu, program ini juga bakal meningkatkan tahap kemahiran guru dan pelajar dalam ICT serta meningkatkan kadar pembacaan di kalangan pelajar sekolah, selaras dengan perlaksanaan dan hala tuju Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam)," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 5 Ogos 2008

Tiada ulasan: