TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Februari 2010

GENG CURI MOTOSIKAL TUMPAS


HARUN Idris (dua dari kanan) melihat rangka motosikal yang ditemui selepas tumpasnya satu kumpulan mencuri motosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di Tangkak, Johor, kelmarin.


LEDANG 13 Feb. - Polis percaya telah menumpaskan sebuah kumpulan curi motosikal ekoran penahanan lapan lelaki termasuk ketuanya di sekitar Sungai Mati dan Bukit Gambir, di sini sejak 25 Januari lalu sehingga 5 Februari lalu.

Dalam kejayaan itu, polis turut berjaya menemui semula tujuh rangka motosikal curi termasuk yang dibuang di Sungai Belemang dan ditanam di belakang sebuah rumah di Sungai Mati.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kumpulan itu dipercayai melakukan sekurang-kurangnya lima kes curi motosikal.

Katanya, kejayaan itu bermula dengan penahanan ketua kumpulan tersebut, seorang penganggur berusia 18 tahun di Sungai Mati, 25 Januari lalu.

"Ketika ditahan, suspek memiliki segumpal kunci serta kunci Allen. Dia mengaku terlibat lebih lima kes curi motosikal di daerah Ledang serta satu di Sungai Rambai, Melaka.

"Susulan itu, kita menahan tujuh lagi suspek berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dalam beberapa siri tangkapan berasingan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di Tangkak, di sini semalam

Menurut Harun, selain rangka, polis turut merampas dua buah motosikal yang digunakan mereka serta sebuah enjin kenderaan itu.

"Mereka membuang rangka motosikal curi itu dengan menanamnya selain mencampak ke dalam sungai," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Harun memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana memiliki beberapa jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Paya Emas di sini Ahad lalu.

Katanya, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 39 (A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya merampas sebanyak 18.58 gram heroin, 4.5 gram ganja, 2 gram syabu, serta 31 gram ketamin.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 14 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: