PENGUNJUNG SETIA

24 Februari 2010

KARNIVAL SUKAN ANTARA DUN JOHOR

ABDUL GHANI (tengah) bersama kepimpinan Umno Bahagian Ledang, Pemuda Umno Cawangan Seri Jaya dan pemimpin masyarakat selepas penutupan rasmi Karnival Sukan Rakyat di padang bola sepak Kampung Seri Jaya, Tangkak.

ABDUL GHANI (kanan) mencuba makanan peserta yang menyertai pertandingan masakan sempena Karnival Sukan Rakyat di Kampung Seri Jaya.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Kerajaan negeri akan menganjurkan Karnival Sukan antara Dewan Undangan Negeri (DUN ) yang membabitkan 56 kawasan bagi memeriahkan kegiatan sukan di negeri ini yang bermula dari peringkat akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Abd Ghani Othman, berkata kegiatan sukan di peringkat akar umbi memang digalakkan kerana banyak bakat sukan di kampung yang perlu dicungkil dan diketengahkan.

"Pada zaman 60-an dan 70-an kegiatan sukan di daerah ini memang hidup kerana ramai yang berbakat selain kemudahan untuk mengadakan aktiviti itu banyak terutama dengan menggunakan padang sekolah.

“Pada hari ini, terdapat beberapa buah padang sekolah terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan. Oleh itu penyediaan kawasan untuk kegiatan sukan itu perlu bagi kemudahan melaksanakan aktiviti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Karnival Sukan Rakyat di Padang Bola Sepak Kampung Seri Jaya, Tangkak. Karnival selama dua hari itu anjuran bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pemuda Umno Cawangan Kampung Seri Jaya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) gambir, M Asojan.

Abdul Ghani berkata, generasi sekarang perlu aktif bersukan kerana apabila tidak terbabit dengan kegiatan sukan mereka akan menjadi kaku dan masa depan mereka terhad kerana tidak terdidik dengan kemahiran yang boleh diperoleh dalam sukan.

Beliau turut mengumumkan akan menaik taraf padang permainan sedia ada di Kampung Seri Jaya dan membina sebuah gelanggang futsal di kampung itu bagi kemudahan penduduk setempat serta sekolah berhampiran menjalankan aktiviti sukan dan mengadakan pertandingan di peringkat tempatan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 24 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: