TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

01 Februari 2010

KANAK-KANAK CEDERA MERCUN DIPEGANG TIBA-TIBA MELETUP

TANGKAK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun cedera teruk di tangan kiri dan bawah hidung selepas mercun yang dipercayai dipegangnya tiba-tiba meletup, dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bukit Keledang, Jementah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu Nur Amani Balkis Shahidallah, dikatakan sedang memegang mercun itu berhampiran tempat pembakaran sampah di tepi rumah mangsa apabila secara tiba-tiba ia meletup sehingga mencederakan tangannya dan sebahagian mukanya.

Mangsa kemudian dibawa oleh keluarganya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tangkak (HT) dengan menjalani ujian imbasan sebelum dimasukkan ke wad, bagaimanapun keadaannya dilaporkantidak membimbangkan.

Ibu mangsa, Nurzilah Salim, 33, berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat disusuli jeritan anaknya.

Katanya, ketika berlari keluar rumah dia mendapati anak tunggal perempuannya daripada enam beradik itu dalam keadaan berlumuran darah di muka dan tangannya sambil menangis kesakitan.

"Pada mulanya saya menyangka muka Balkis turut cedera parah termasuk matanya sebelum menyedari ia darah daripada kesan luka di bawah hidung yang menyebabkan banyak darah keluar, selain itu tangan kirinya juga cedera teruk dengan kesan beberapa luka yang agak panjang dan dalam," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HT semalam.


Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana ketika dia membakar sampah, Balkis tiada di situ, sebaliknya berada bersama dua lagi abangnya sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah.

Nurzilah berkata, ketika sedang membakar sampah itu, anaknya yang satu setengah tahun menangis menyebabkan dia masuk semula ke rumah dan ketika itu barulah Balkis pergi ke tempat pembakaran sampah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak tahu bila mercun itu berada di tangan anaknya dan tidak menolak kemungkinan bahan itu ditemui Balkis di bawah timbunan sampah.

"Nasib baik suami saya baru sampai di rumah sebelum membawa Balkis mendapatkan rawatan di klinik swasta di pekan Jementah sebelum dibawa ke hospital," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 01 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: