PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2010

STATISTIK KEMALANGAN LEBUH RAYA ANTARA PAGOH - TANGKAK MENGGERUNKAN

MUAR 1 Feb. - Statistik kemalangan bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan antara Pagoh hingga Tangkak dekat sini didapati amat menggerunkan kerana secara puratanya sebanyak dua kematian dicatatkan setiap bulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian daripada tahun 2000 hingga 2009 menyaksikan sebanyak 958 kemalangan direkodkan di laluan berkenaan.

"Daripada jumlah kemalangan tersebut, sebanyak 253 kematian telah dicatatkan sepanjang tempoh sembilan tahun ini.

"Secara puratanya, jumlah kes kemalangan maut di laluan ini adalah sebanyak 28 kes setahun atau kira-kira dua kes untuk setiap bulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bangunan Pentadbiran JPJ cawangan Muar di Sungai Abong di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan juga mendapati tiada sebarang masalah bagi permukaan laluan lebuh raya sejauh kira-kira 30 kilometer itu yang cukup lebar dan lurus.

"Punca masalah ini mungkin kerana laluan yang terlalu selesa sehingga pemandu mengambil kesempatan untuk memecut laju.

"Bagi saya, usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan ini perlu digerakkan menerusi kesedaran para pemandu agar mereka sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kadar kemalangan yang tinggi itu kerana ia turut melibatkan sikap para pemandu di negara ini.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Abdul Rahim yakin penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berkuat kuasa 1 Jun depan akan dapat membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Penggunaan pengangkutan awam di negara ini adalah sekitar 10 hingga 15 peratus kerana orang ramai lebih gemar menggunakan pengangkutan sendiri walaupun berlakunya kesesakan.

"Dengan pelbagai galakan daripada kerajaan menerusi matlamat NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional), kita berharap peratus penggunaan akan dapat meningkat kepada 25 peratus," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga mengalu-alukan syarikat pengangkutan untuk membuka operasi di kawasan luar bandar bagi menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: