PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2010

TUMPUAN PERINGKAT AWAL ELAK KECICIRAN

LEDANG 15 Feb. - Murid-murid sekolah rendah yang lemah dalam pelajaran perlu diberi tumpuan daripada peringkat awal bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam sistem pendidikan negara.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, murid-murid terbabit perlu 'diselamatkan' supaya mereka tidak menghadapi kesukaran untuk menghadapi tahap pelajaran yang lebih tinggi.

Jelas beliau, peringkat darjah tiga adalah peringkat terbaik untuk mengenal pasti murid-murid berkenaan supaya mereka sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Masalah yang lebih lanjut pasti akan berlaku sekiranya murid-murid yang tercicir pelajaran tidak diberi perhatian daripada peringkat awal.

"Bagi mengatasi permasalahan ini, saya yakin usaha sedang dilaksanakan Kementerian Pelajaran serta inisiatif pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ma'amor, Tangkak di sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Ledang, Amran A. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Guru Besar SK Seri Ma'amor, Mahat Yahya ser ta Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Rosman Pardi.

Pada majlis yang sama, Abdul Ghani turut menyumbangkan RM6,000 untuk Tabung Kecemerlangan Akademik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Seri Ma'amor.

Sementara itu, jelas Abdul Ghani, beliau juga menyokong pendidikan pra sekolah kepada kanak-kanak di negara ini dimulakan daripada peringkat usia lima tahun.

Katanya, usaha memperluaskan pendidikan berkenaan akan dapat memberi permulaan yang baik kepada kanak-kanak dalam bidang pelajaran sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2010

Tiada ulasan: