PENGUNJUNG SETIA

16 April 2010

KUBUR 'HILANG'

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


AYOB (kanan) dan Din menunjukkan kesan batu nisan yang rosak akibat kerja membersih dan menebang pokok di kawasan perkuburan lama Kampung Serom Panggung.

Batu nisan rosak selepas kerja pembersihan guna jentolak


TANGKAK: Kerja pembersihan kubur lama di Kampung Serom Panggung, dekat sini, bagi menebang pokok tua, menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan waris yang mendakwa beratus-ratus kubur lama dirosakkan tanpa dibuat penandaan terlebih dulu sebelum kerja pembersihan dijalankan.
Kerja pembersihan dan penebangan pokok di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar di tebing Sungai Muar yang juga dikatakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dimulakan sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Berita Harian mendapati sekurang-kurangnya tujuh kubur lengkap dengan binaan kepok tidak diusik, manakala kubur lain yang hanya ditandakan dengan batu nisan rosak dipercayai akibat kerja pembersihan menggunakan jentolak.
Seorang penduduk, Ayob Abdul Salam, 59, berkata kubur lama itu turut menempatkan kubur nenek moyangnya.

Katanya, kubur itu digunakan sejak 1860-an hingga 1980-an sebelum kawasan itu penuh sehingga menyebabkan ia tidak lagi digunakan, sebaliknya kawasan perkuburan baru disediakan di Kampung Serom 3.

“Ketika saya tiba di perkuburan lama itu, saya mendapati kerja pembersihan dan penebangan pokok sedang dijalankan sehingga menyebabkan banyak kubur lama yang ‘hilang’ begitu saja dan saya rasa kubur nenek moyang saya turut menjadi mangsa kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui di perkuburan lama itu.

Seorang lagi penduduk, Din Yaakob, 46, pekebun, berkata, sejak daripada kecil lagi beliau dimaklumkan bahawa kawasan perkuburan lama itu turut menempatkan kubur nenek moyangnya, malah beliau pernah menziarahi kubur berkenaan.

Beliau kesal dengan tindakan mereka yang terbabit dengan kerja pembersihan dan penebangan pokok di kawasan itu yang menyebabkan banyak kubur lama tertimbus atau hilang begitu sahaja berikutan kerja pembersihan dijalankan dengan jentolak dan jentera berat.

“Saya sedih apabila melihat kawasan perkuburan lama ini seolah-olah hilang apabila kerja pembersihan dan penebangan pokok dijalankan tanpa perbincangan dengan waris seperti yang sepatutnya dijalankan,” katanya.

Ketua Kampung Belemang, Kamarulzaman Abdul Rahman, 38, yang juga pihak yang terbabit dalam kerja pembersihan dan penebangan pokok di kawasan perkuburan lama itu, berkata, kerja itu dijalankan selepas mendapat kelulusan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman, dengan tujuan membersihkan persekitaran termasuk menebang pokok tua yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau mengakui kerja itu dijalankan tanpa perbincangan atau kebenaran daripada waris tetapi menegaskan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga persekitaran kubur itu termasuk berjanji membaiki semula kubur yang rosak.

“Tujuan pembersihan dan penebangan pokok itu adalah untuk keselamatan orang ramai berikutan banyak pokok lama yang terletak di tepi jalan yang boleh tumbang pada bila-bila masa sehingga mengancam nyawa.

“Sehubungan itu pejabat daerah memberi kebenaran supaya pihak saya menjalankan kerja pembersihan dan pada masa yang sama membaik pulih kubur jika rosak terlanggar jentera berat ketika kerja berkenaan dijalankan,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 16 APRIL 2010

Tiada ulasan: