PENGUNJUNG SETIA

16 April 2010

169 MURID TERIMA BANTUAN JUITA

SEGAMAT 15 April - Seramai 169 murid daripada golongan susah di daerah ini dan Ledang menerima bantuan persekolahan sumbangan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) semalam.

Yang Dipertua Juita, Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin berkata, para penerima bantuan dicalonkan oleh guru besar sekolah masing-masing dan kemudiannya disahkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.

"Kriteria murid-murid yang diberikan bantuan ini adalah mereka daripada golongan keluarga susah serta cemerlang dalam pelajaran dengan mendapat tempat pertama hingga 10 dalam peperiksaan," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Dewan Jubli Intan Segamat di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais serta Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin.

Murid-murid terbabit menerima bantuan wang tunai RM100, buku cerita kanak-kanak dalam bahasa Inggeris, baucer pembelian kain di kedai Jakel bernilai RM50, hamper dan peralatan sekolah.

Menurut Jamilah, daerah Segamat dan Ledang menjadi kawasan pertama bagi program bantuan tersebut sebelum ia diperluaskan lagi ke seluruh negeri ini.

"Murid-murid ini akan menerima bantuan dan penghargaan susulan sekiranya mereka meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran sehingga ke Tahun Enam,'' katanya.

Pada majlis itu, Jamilah turut menggesa golongan ibu tunggal menyertai Projek Juitaku Sayang untuk menambah pendapatan keluarga.

"Hingga kini, seramai 22 ibu tunggal telah mendaftar dan mereka berjaya memperoleh pendapatan minimum RM500 sebulan selepas mengikuti pelbagai kursus kemahiran termasuk masakan, jahitan, langsir dan manik," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 APRIL 2010

Tiada ulasan: