TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 April 2010

MAKANAN JOHOR DI BAWAH SATU BUMBUNG


ABDUL Ghani Othman meninjau keadaan pasar awam dan beramah mesra dengan para peniaga ketika melakukan lawatan kerja ke Parlimen Bakri di Muar, Johor, semalam.


MUAR 2 April - Keunikan pelbagai hidangan negeri ini bakal dihimpunkan di bawah satu bumbung apabila sebuah medan selera baru dicadang didirikan di bandar ini.

Bandar Muar yang cukup terkenal dengan keenakan mi bandung, nasi beriani, asam pedas, roti bakar serta sate yang sering menjadi sarapan pasti akan melonjakkan lagi bandar ini sebagai destinasi pelancongan yang lebih menarik.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bandar Muar sememangnya cukup sinonim dengan kepelbagaian tarikan makanannya.

"Saya mencadangkan Pejabat Daerah Muar untuk mencari sebuah tapak baru supaya kita boleh meletakkan kesemua peniaga ini di medan selera yang sama.

"Di samping tapak-tapak lama dikekalkan, kemungkinan anak atau ahli keluarga peniaga terbabit boleh memperluaskan perniagaan mereka di tapak baru ini," katanya semasa mengadakan program turun padang di sekitar bandar Muar di sini semalam.

Abdul Ghani berkata, cadangan meningkatkan promosi hidangan di Muar pernah dibangkitkan dalam mesyuarat mingguan Exco dan antara perkara yang ditekankan adalah meningkatkan tahap kebersihan serta nilai komersialnya.

"Apabila kita melihat suasana di Muar dan bercakap mengenai makanannya, ia sebenarnya amat berkait rapat dengan identiti makanan di Johor secara tidak langsung," katanya.

Menteri Besar berharap hidangan tiram yang diambil secara segar dari Sungai Muar di Pangkalan Nelayan Parit Tiram di sini dapat diperluaskan sebagai tarikan terkini untuk hidangan di bandar ini.

"Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM300,000 di Parit Tiram dan saya ingin mencadangkan supaya sebuah medan makan dapat dibina di kawasan berhampiran.

"Reka bentuk medan ini sebaiknya dibuat secara moden kerana ia bukan sahaja boleh menarik kehadiran penduduk tempatan, malah pelancong luar," katanya.

Pada program itu, Abdul Ghani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi kerja-kerja memperbaiki prasarana dan menambah baik perkhidmatan di Pasar Awam Maharani di sini.

"Keunikan pasar ini kerana ia menghimpunkan para peniaga dari semua kaum baik Melayu, Cina dan India dalam satu komuniti dan ia sememangnya menepati semangat gagasan 1Malaysia," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 APRIL 2010

Tiada ulasan: