PENGUNJUNG SETIA

12 April 2010

TIDAK PERLU BELA 6 KONTRAKTOR SENARAI HITAM

LEDANG 11 April - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) tidak perlu membela enam syarikat kontraktor yang disenaraihitamkan oleh Kementerian Pelajaran kerana tindakan itu diambil setelah tempoh lanjutan yang telah beberapa kali diberikan, masih gagal dipatuhi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kelewatan projek pembinaan oleh syarikat terbabit telah banyak menjejaskan jadual perancangan kementerian untuk penyediaan prasarana kepada pelajar.

Tegas beliau, PKMM sewajarnya mengambil tanggungjawab untuk memantau kontraktor berkaitan bagi memastikan mereka menyiapkan kerja mengikut jadual.

"Sepatutnya PKMM memantau ahli-ahli mereka dan membantu menyiapkan kerja yang diberikan supaya tidak disenaraihitamkan kerana gagal menyiapkan kerja.

"Lagipun, mereka yang disenaraihitamkan itu telah beberapa kali diberi tempoh lanjutan tetapi masih tidak dapat menyiapkan kerja diberikan," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penyampaian hadiah kecemerlangan di Sekolah Menengah Sains Muar di Tanjung Agas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad semalam yang meminta Kementerian Pelajaran menimbang semula tindakan menyenaraihitamkan enam syarikat kontraktor yang gagal menyiapkan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohd. Puad berkata, daripada enam syarikat yang disenaraihitamkan, sebuah syarikat secara sukarela telah menyerahkan semula projek yang diberikan.

"Ini bermakna hanya lima kontraktor saja yang disenarai hitam dan jumlah ini masih lagi kecil jika dibandingkan dengan 14,000 projek yang diberikan kerajaan kepada kontraktor di bawah RMK-9," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, sehingga kini pembinaan lima daripada 16 sekolah berasrama penuh membabitkan peruntukan RM994 juta di bawah RMK-9 telah berjaya disiapkan.

Menurutnya, empat buah lagi sekolah iaitu di Sembrong; Johor serta Setiu, Jerteh dan Hulu Terengganu kini dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan tahun ini.

"Apabila siap kelak, kerajaan yakin lebih ramai pelajar miskin akan berpeluang melanjutkan pelajaran mereka di sekolah berasrama penuh," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 12 APRIL 2010

Tiada ulasan: