PENGUNJUNG SETIA

28 April 2010

DUA BERADIK DITEMUI LEMAS

MUAR 27 April - Misteri kehilangan dua beradik yang tidak pulang dari sekolah sejak semalam terjawab dengan penemuan dua mayat terapung di Sungai Muar di sini hari ini.

Mayat Mohd. Fadzly Razak, 15, ditemui terapung di bawah Jambatan Muar kira-kira pukul 11.30 pagi manakala mayat adiknya, Mohd. Syafiq, 11, ditemui dalam tali air di Tanjung Agas, Ledang pada kira-kira pukul 5 petang.

Difahamkan, motosikal yang dinaiki kedua-dua beradik itu terbabas ke dalam sungai di jalan berhampiran Jeti Parit Bunga, Tanjung Agas, Ledang.

Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Daerah Muar, Asisten Supritendan Abdul Lajis Tahir berkata, mayat kedua-duanya ditemui hasil maklumat orang awam.

"Mayat mereka dihantar ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dan telah dicam oleh ahli keluarganya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Lajis, pemantauan di sekitar kawasan turut menemui motosikal milik mangsa di perairan berhampiran Jeti Parit Bunga.

Sementara itu, ibu mangsa, Zuriha Yahya, 42, berkata, kedua-dua anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas Mohd. Fadzly mengambil Mohd. Syafiq dari Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bunga pada kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

Katanya, selepas usaha mencari gagal, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati hari ini berhubung kehilangan anak keempat dan kelima daripada tujuh beradik itu.

"Semasa berada di rumah, saya mendapat panggilan daripada pihak polis pada kira-kira pukul 2 petang dan diminta mengecam mayat Mohd. Fadzly.

"Pada kira-kira pukul 5.30 petang, semasa majlis pengkebumian Mohd. Fadzly di Batu 6 Jalan Bakri berlangsung, saya mendapat satu lagi panggilan dan kali ini mereka menemui mayat Mohd. Syafiq," katanya.

Jelasnya, jenazah anaknya yang kelima itu akan dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan abangnya pagi esok.

Lokasi kemalangan dua beradik itu merupakan jalan pintas dari SK Parit Bunga untuk pulang ke rumah mangsa yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2010

Tiada ulasan: