PENGUNJUNG SETIA

16 April 2010

KUBUR LAMA 'HILANG' AKIBAT KERJA PEMBERSIHAN


AYOB Abdul Salam (kanan) dan Din Yaakob menunjukkan batu nisan yang patah ketika kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan dengan menggunakan jentera berat di Kampung Serom Panggung, Ledang, semalam.


LEDANG 15 April - Biarpun bermaksud membersihkan kawasan, kerja-kerja 'menerangkan' semak dan pokok tua di kawasan kubur lama di Kampung Serom Panggung di sini menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk.

Ini kerana sebahagian besar kubur lama di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar itu tertimbus dek tanah dan ada batu nisan yang rosak serta patah dipercayai akibat kerja pembersihan menggunakan jentolak.

Utusan Malaysia difahamkan, kerja-kerja pembersihan itu dijalankan sejak beberapa hari lalu dan tapak kubur yang wujud sejak tahun 1860-an itu terletak di tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Seorang penduduk, Din Yaakob, 46, berasa sedih melihat tapak perkuburan yang turut menempatkan kubur nenek moyangnya itu bagaikan 'hilang' akibat kerja-kerja pembersihan yang dilakukan.

Menurutnya, tindakan kontraktor tersebut didakwa tidak sensitif terhadap perasaan para waris kerana kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan menggunakan jentolak dan jentera berat.

"Sepatutnya kerja-kerja ini dilakukan dengan perbincangan terlebih dulu bersama waris dan mereka tidak sepatutnya mengakibatkan kubur-kubur lama tertimbus bagai hilang begitu saja," katanya yang juga seorang pekebun.

Sementara itu, Ayob Abdul Salam, 59, memberitahu, dia mula menyedari kerja-kerja pembersihan dilakukan di tanah perkuburan itu Ahad lalu setelah dimaklumkan beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.

"Saya dapati kerja-kerja pembersihan dan penebangan pokok dijalankan sehingga menyebabkan banyak kubur lama 'hilang' begitu saja dan saya rasa kubur nenek moyang saya turut menjadi mangsa," katanya.

Katanya, penduduk kampung tidak berniat menghalang kerja-kerja tersebut namun sebaik-baiknya ia dijalankan dengan teliti dan mengikut prosedur di samping memaklumkan terlebih dahulu kepada waris yang masih hidup.

Menurutnya, kubur tersebut digunakan sejak 1860-an hingga 1980-an sebelum tapak baru disediakan untuk kegunaan penduduk di Kampung Serom 3.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Belemang, Kamarulzaman Abdul Rahman, 38, berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan lama itu dilakukan bagi tujuan membersihkan persekitaran termasuk menebang pokok tua dan menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, kerja tersebut mendapat kelulusan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman namun beliau mengakui ia dijalankan tanpa perbincangan atau kebenaran daripada waris.

"Pejabat daerah memberi kebenaran supaya pihak saya menjalankan kerja pembersihan dan pada masa yang sama, kami akan membaik pulih kubur jika rosak akibat terlanggar jentera berat semasa kerja berkenaan dijalankan," katanya.

Pihaknya telah merujuk kepada Pejabat Agama Daerah Ledang mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kebenaran tidak diperlukan kerana tanah perkuburan itu bukan terletak sebagai tanah wakaf perkuburan, sebaliknya tanah rizab JPS.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 APRIL 2010

Tiada ulasan: