PENGUNJUNG SETIA

07 April 2010

PENYAMUN IKAT WARGA EMAS, ACU PARANG DI LEHER

Abdul Salam (kiri) dan isteri, Hamidah sedang menceritakan kejadian samun yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian kira-kira RM5000.
Foto: Husainy Ripin

BUKIT KANGKAR: Seorang warga emas di Kampung Gelugur, di sini, tergamam apabila perompak yang memecah masuk rumahnya meletakkan parang di leher sebelum mengikat tangan selain mengugut akan mencederakan beliau sekiranya enggan menuruti arahan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Abd Salam Aman, 52 bersama isterinya, Hamidah Ali, 50, sedang tidur dalam sebuah bilik terperanjat apabila tiba-tiba dua orang bertopeng mengejutkan beliau lantas mengacukan parang ke arah mereka.

Menurut Abd Salam, dalam keadaan kelam-kabut itu beliau dan isteri mengikut arahan penjenayah itu sebelum tangan mereka diikat.

Turut diikat dua orang anak beliau dan selepas mengikat kesemua mangsa, penjenayah seramai empat orang itu mengeledah rumah mereka bagi mencari barangan berharga.

Katanya, kesemua perompak itu memakai penutup muka bagi mengelak daripada wajah mereka dicam mangsa dan dari loghat pertuturan mereka dipercayai warga Indonesia.

Menurutnya, perompak tersebut berjaya melarikan sebuah komputer riba, telefon bimbit dan barangan kemas yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM5000.

"Sebelum melarikan diri, perompak tersebut sempat memulangkan kad sim telefon bimbit yang dikebas itu sambil menyatakan akan melakukan lagi samun malam esok," katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebuah rumah di Batu 9 1/2 turut dipecah masuk perompak tetapi menurut mangsa, Zainon Darwis tiada sebarang kehilangan harta benda dalam kejadian tersebut.

Kesemua mangsa telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Mati.

~iNFOLEDANG 07 APRIL 2010

Tiada ulasan: