PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2010

GOTONG-ROYONG BERSIH TANAH PERKUBURAN ISLAM BUKIT MERAK

Penduduk Bukit Kangkar sedang melakukan kerja gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan lama di Bukit Merak.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Satu program gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam di Bukit Merak dekat Bukit Kangkar, di sini telah dijalankan oleh penduduk di sekitar pekan itu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kangkar Jaya, Taman Sentosa dan Taman Cempaka Wangi itu bagi membersihkan kawasan tanah wakaf yang menempatkan kira-kira 50 kubur lama yang terbiar.

Pengerusinya, Azmi Abd Rahman, 41, berkata kawasan tanah wakaf seluas 0.3 hektar yang telah dibuka sekitar tahun 1940-an itu terbiar tanpa penjagaan yang sempurna berikutan tidak diwartakan sebagai tanah perkuburan oleh penduduk terdahulu.

Katanya, masyarakat setempat mengambil inisiatif untuk membangunkan semula kawasan tanah perkuburan itu dengan mengadakan gotong-royong membersihkannya yang dipenuhi semak-samun.

“Kami berusaha mengenalpasti waris-waris yang ahli keluarganya pernah dikebumikan di tanah perkuburan itu untuk mengumpulkan data bagi membuat permohonan kepada pihak Jabatan Agama Johor (JAJ) agar kawasan itu dapat diwartakan sebagai tanah perkuburan.

“Buat masa ini, sekiranya berlaku kematian jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Bukit Kangkar yang semakin sempit dan memerlukan kawasan baru yang lebih luas,” katanya.

Azmi berkata, atas inisiatif penduduk beberapa taman dan Kampung Parit Pelampung telah sepakat untuk menjaga kawasan itu daripada semak-samun sementara menunggu kawasan itu diwartakan sebagai tanah perkuburan yang baru.

Katanya, walaupun tanah perkuburan itu terletak di dalam kawasan tanah milik seorang bukan Islam, pihaknya akan berusaha memohon kepada pihak Kerajaan supaya melakukan pengambilan balik tanah itu untuk dijadikan tapak tanah perkuburan bagi kegunaan penduduk Bukit Kangkar dan sekitarnya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 31 MAC 2010

Tiada ulasan: