TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Mac 2010

KUMPULAN SAMUN 4 NEGERI TUMPAS

LEDANG 25 Mac - Kelicikan sebuah kumpulan samun dan pecah rumah yang bermaharajalela melakukan jenayah di empat buah negeri berakhir selepas mereka diberkas di Taman Malim Jaya, Melaka, 11 Mac lalu.

Kumpulan samun yang amat dikehendaki serta menjadi buruan polis Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang itu dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Polis daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki berusia 28, 44 dan 57 tahun serta seorang wanita warga China berusia 40 tahun.

Menurutnya, serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu pada mulanya berjaya memberkas suspek berusia 57 tahun serta wanita berkenaan di dalam sebuah rumah di Taman Malim Jaya.

Susulan daripada itu, pihaknya berjaya menangkap dua lagi suspek kira-kira dua jam kemudian di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan tersebut.

"Ketua kumpulan samun dan pecah rumah ini ialah suspek yang berusia 57 tahun, berasal dari Kuala Lumpur. Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 12 kes pecah rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Dua lagi suspek lelaki berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur dan salah seorang daripadanya dipercayai telah terlibat dalam 15 kes pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Harun berkata, kejayaan menumpaskan kumpulan penjenayah itu adalah hasil risikan selepas sebuah rumah di Kampung Teratai, Sagil dipecah masuk awal bulan ini.

Mangsa, seorang penoreh getah mengalami kerugian RM2,500 apabila barang kemas dan wang tunai miliknya disamun.

"Modus operandi kumpulan samun ini adalah menyasarkan rumah semasa ketiadaan penghuninya dan mereka juga melakukan kegiatan di luar negeri asal mereka," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai mata wang asing termasuk Rupiah 16,000, barangan kemas dan jam tangan bernilai RM2,000, peralatan pecah rumah serta 60 botol minuman keras.

"Kami masih lagi menyiasat penemuan minuman keras tersebut sama ada melibatkan kes jenayah lain," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan keempat-empat suspek tersebut kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk siasatan kes lain sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri berkaitan.

Dalam kes berasingan, Harun memberitahu, seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas di Parit Bunga, Sungai Mati di sini pada 19 Mac lalu kerana disyaki mengedar ganja mampat seberat 580 gram.

"Suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan turut ditemui adalah beberapa peralatan untuk membungkus dadah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MAC 2010

Tiada ulasan: