PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2010

PELAJAR MISKIN IKUTI PROGRAM MOTIVASI

LEDANG 22 Mac - Seramai 150 pelajar daripada keluarga miskin di daerah Muar dan Ledang menyertai Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diadakan di Kem Motivasi Tawar Farm di sini.

Lima sekolah yang terlibat dalam program yang julung kali diadakan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, SMK Parit Bunga, SMK Bukit Gambir, SMK Bandar Maharani dan SMK Tun Perak.

Program itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPPJ).

Ia dirasmikan Pegawai Pelajaran Daerah Muar dan Ledang, Ramli Samat. Turut hadir Pengurus, Pemasaran Bahagian Latihan Khidmat Runding KPYPJ, Zulkarnain Ya'cob dan Pengerusi Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor Muar, Abdullah Omar.

Antara program diadakan termasuk ceramah kecemerlangan pemikiran positif, mengenali diri dan kasih sayang ibu bapa selain memberi perangsang kepada pelajar terbabit untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal diduduki.

Ramli dalam ucapannya menggesa para pelajar yang terpilih supaya memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

"Saya berharap kursus motivasi itu membuka minda semua pelajar yang mengikuti kem ini mencapai sasaran cemerlang dalam SPM.

"Pelajar boleh menentukan kejayaan mereka. Tepuk dada tanyalah selera kerana melalui kursus motivasi itu pelajar tahu matlamat mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MAC 2010

Tiada ulasan: