TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Mac 2010

LADANG SAWIT BUKIT GAMBIR BANJIR KILAT

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhnews@bharian.com.my

SEORANG penduduk meninjau punca kebocoran yang menyebabkan air melimpah ke kebun sawit berhampiran di Kampung Parit Kassan.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

SAMB diminta selenggara paip besar bocor elak jejas pendapatan pekebun

LEDANG: Kebun sawit dan getah milik beberapa penduduk di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, dibanjiri air berikutan kebocoran yang berlaku pada batang paip besar yang membekalkan air mentah dari Loji Air Grisek ke Melaka.

Keadaan itu menyebabkan punca pendapatan pekebun terjejas kerana tidak dapat keluar menoreh dan kelapa sawit tidak dapat dipetik.

Pekebun kecil, Ahmad Tahir, 69, berkata pekerjanya tidak dapat memetik kelapa sawit apabila kebun kelapa sawitnya dibanjiri air yang melimpah berpunca dari kebocoran yang berlaku pada batang paip besar merintangi kampung itu.

Katanya, kebocoran itu disedari sejak Ahad lalu menyebabkan air keluar dengan banyak melimpah ke kebun-kebun dan kawasan rendah di sekitarnya menyebabkan berlakunya banjir kilat malah terdapat kebun yang digenangi air disebabkan tiada laluan yang membolehkan air keluar ke parit besar.

“Terdapat tiga kawasan yang berlaku kebocoran itu dan penduduk telah memaklumkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan batang paip tersebut dan pihak SAMB telah maklum dengan masalah tersebut,” katanya.

Ahmad berkata, kebocoran itu perlu dibaiki segera kerana ia membentuk seperti kolam terutama berhampiran jalan pintas ke Kampung Parit Haji Idris yang menjadi laluan orang ramai sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku kerana dikhuatiri kenderaan yang melalui jalan itu terbabas terutama pada waktu malam.

Tinjauan Berita Harian mendapati beribu-ribu liter air mengalir keluar ke kawasan parit berhampiran dan pihak SAMB yang dihubungi berkata pihaknya memantau keadaan itu dan akan membaikpulih kebocoran itu dalam masa terdekat.

Seorang penoreh getah, Saodah Abd Kadir, 67, berkata dia tidak dapat menoreh kerana kebun getahnya yang terletak berhampiran kawasan kebocoran itu digenangi air yang melimpah masuk dan tiada saliran untuk air keluar ke parit besar.

Beliau berharap pihak yang berkenaan dapat membaikpulih kebocoran itu dengan segera supaya air yang melimpah ke kebunnya kering dan dapat menoreh semula setelah terjejas mata pencariannya akibat keadaan tersebut.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 26 MAC 2010

Tiada ulasan: