PENGUNJUNG SETIA

25 Mac 2010

MURID SKS5D BERARAK SAMBUT MAULIDUR RASUL

Murid Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D), Bukit Gambir menyertai perarakan yang bermula dari Masjid Jamek Simpang 5 Darat sempena sambutan Maulidur Rasul sekolah itu.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN


LEDANG:
Perarakan sejauh satu kilometer yang bermula dari Masjid Jamek Simpang 5 Darat yang disertai kira-kira 200 orang murid dan guru, Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D), Bukit Gambir memeriahkan lagi acara sambutan Maulidur Rasul sekolah itu.

Perarakan yang diiringi selawat dan marhaban itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menuju ke Dewan Firdausi di mana acara kemuncak sambutan itu diadakan.

Guru Besar, Mazlan Ahmad, berkata program anjuran bersama pihak sekolah dan PIBG itu sememangnya menjadi program tahunan yang bertujuan untuk memperingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW di samping menanamkan rasa cinta kepada Baginda di kalangan murid-murid.

Katanya, perasaan cinta dan kasih kepada pemimpin agung umat Islam itu perlu diterapkan dalam jiwa murid-murid agar mereka faham dan sentiasa ingat mengenai sejarah perjuangan Rasulullah menegakkan syiar Islam.

Menurutnya, antara pengisian program sepanjang sambutan itu ialah pertandingan azan, bacaan berzanji, seni khat dan menghafaz ayat lazim yang disertai murid-murid dari peringkat Prasekolah hingga Tahun Enam.

“Kemuncak sambutan diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd Nurul Helmi Abd Karim, Guru J-QAF dari Umbai, Melaka yang mengupas mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad dan jasa-jasa Baginda yang dapat dinikmati oleh umat Islam hari ini,” katanya.

Hadir sama pada sambutan itu, Yang DiPertua PIBG, Mohd Noh Abd Montalib; Imam Masjid Jamek Simpang 5 Darat, Jofri Ab Samat; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Ahmad Tarmizi Md Nas dan Guru Pendidikan Islam, Elyias Othman.

Mazlan berkata, kerjasama erat di antara pihak sekolah dengan PIBG dalam mengadakan sambutan Maulidur Rasul itu merupakan satu usaha yang murni dan dapat menjalinkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua pihak.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 25 MAC 2010

Tiada ulasan: