PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2010

RUMAH HIJAU UNGGULI KEJOHANAN OLAHRAGA KALI KE-13 SKPK

PADIL sedang menyampaikan piala pusingan kepada wakil Rumah Hijau yang muncul juara Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan Parit Kasan sambil diperhatikan Munah (kiri).

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Pasukan Rumah Hijau mengungguli Kejohanan Olahraga Kali Ke-13, Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK) apabila berjaya menjadi johan keseluruhan temasya itu.

Dalam kejohanan yang diadakan di padang Sekolah Agama Parit Kassan (SAPK) itu, Rumah Hijau berjaya mengumpul 223 markah meninggalkan pasukan Rumah Merah dengan kelebihan lima markah.

Guru Penolong Kanan (Kokurikulum), Khudhairi Jais, berkata kejohanan kali ini diadakan secara sederhana tetapi meriah dan berlangsung di padang SAPK berikutan padang sedia ada terlibat dalam pembinaan bangunan baru empat tingkat sekolah itu.

Katanya, melalui kejohanan olahraga itu dapat memupuk semangat kesukanan di kalangan murid kerana mereka terlibat dalam semua acara yang dipertandingkan yang disertai murid Prasekolah hingga Tahun Enam.

“Penglibatan mereka dalam bidang kokurikulum juga perlu untuk kebaikan kesihatan mereka selain menumpukan dalam bidang akademik.

“Walaupun dalam acara balapan hanya menggunakan trek 60 meter namun murid-murid bersemangat menyertai acara itu malah masing-masing berusaha bersungguh-sungguh mencari mata supaya rumah yang diwakili mendapat kejayaan,” katanya.

Turut hadir pada temasya itu, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Padil Md Amin; Naibnya, Mohd Janis Abu Bakar; Guru Besar, Munah Abd Majid dan Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Mohamad Md Amin.

Khudhairi berkata, selain Rumah Hijau yang menjadi johan temasya itu, pasukan Rumah Biru yang mendapat 218 markah menjadi naib johan manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi pasukan Rumah Kuning (189) dan Rumah Biru (172).

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 30 MAC 2010

Tiada ulasan: