PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2010

LELAKI CEROBOH TADIKA KETUK KEPALA TIGA MURID


Seorang pegawai polis mengawal Tadika Sinario, tempat lelaki tidak siuman mengamuk dan mencederakan pelajar di Muar, semalam - UTUSAN/ISHAK RAHMAD


MUAR 10 Mac - Ketika beberapa orang guru sibuk menyediakan sarapan pagi di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini, suasana tiba-tiba menjadi kecoh dengan jeritan kanak-kanak.

Seramai 20 orang murid dalam sebuah kelas di tadika itu ketakutan, melihat seorang lelaki yang berpakaian serba hitam, berkaca mata dan bertopi keledar tiba-tiba muncul dalam sekolah mereka.

Lelaki itu yang dipercayai kurang siuman menggunakan tukul besi dan bertindak di luar batasan apabila mengetuk kepala tiga orang murid yang berada dalam kelas itu.

Dia sebelum itu dikatakan memanjat pagar tadika tersebut kira-kira pukul 10 pagi untuk menceroboh masuk ke dalam tadika berkenaan.

Berikutan kejadian itu, tiga kanak-kanak berusia enam tahun terpaksa dirawat akibat dicederakan oleh lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri tidak sampai beberapa minit selepas mengamuk di tadika tersebut.

Dua daripada mereka, Alex Tan Kar Eik dan Nur Nadhrah Nabila Mohd. Yusri mengalami kecederaan retak tempurung kepala manakala seorang lagi mangsa, Vincent Tay Hui Seng hanya mengalami luka.

Malah, pengetua tadika itu, Voon Siew Kion, 45, turut cedera di bahu kanan dan tangan kiri akibat diketuk dengan tukul ketika cuba menghalang tindakan lelaki berkenaan.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Siew Kion memberitahu, dia nampak suspek masuk ke dalam tadika selepas memanjat pagar.

"Saya kemudian bertanya lelaki itu tujuan dia masuk ke dalam tadika, namun dia kemudian melemparkan serbuk lada putih ke muka saya.

"Dalam keadaan kelam-kabut, lelaki itu menendang pintu kelas untuk masuk dan bertindak memukul kepala tiga anak murid saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia cuba menghalang tindakan suspek itu namun dicederakan dengan tukul yang dibawanya.

Sebaik sahaja lelaki itu melarikan diri, guru-guru tadika yang lain membantu menghantarnya serta tiga murid yang cedera ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan.

Difahamkan, kesemua mangsa serangan lelaki kurang siuman itu dalam keadaan stabil di wad hospital manakala Siew Kion hanya menerima rawatan pesakit luar.

Keretakan yang berlaku di kepala dua kanak-kanak terbabit dianggarkan sepanjang 3 sentimeter dan mereka kini dipantau secara serius oleh pihak hospital.

Kejadian serangan terhadap kanak-kanak seperti ini bukan pertama kali berlaku di daerah ini. Pada tahun lalu, tiga kanak-kanak berusia antara 5 hingga 9 tahun parah ditikam oleh seorang lelaki yang juga dipercayai kurang siuman.

Kejadian pada 12 Januari tahun lalu berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Bakariah, Taman Muar dan di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong.

Sementara itu, bapa kepada Nur Nadhrah Nabila, Mohd. Yusri Mukhlis, 33, berkata, dia pada mulanya terkejut selepas dimaklumkan bahawa anaknya terbunuh dalam serangan di tadika tersebut.

"Saya terus bergegas ke hospital selepas dimaklumkan. Syukur Alhamdullilah, anak saya selamat dan tiada siapa yang kehilangan nyawa," katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff pada sidang akhbar tergempar di sini petang ini mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat dan memberkas suspek kes tersebut.

"Kita telah menghantar tambahan pegawai dan anggota dari Ledang, Batu Pahat dan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor untuk terbabit sama dalam kes ini.

"Saya sendiri akan memantau perkembangan kes ini supaya suspek yang tidak berperikemanusiaan dan dipercayai tidak siuman ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian Hotline IPK Johor di 07-2212999 atau talian Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di 06-9526001.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2010

Tiada ulasan: