TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 Mac 2010

PERLU DANA BERSIH KUBUR

Oleh Hai Rozzaman Jalal

bhnews@bharian.com.my


KAWASAN perkuburan tanah wakaf sedang dibersihkan bakal digunakan penduduk Kampung Raja, Pagoh dan sekitarnya.

Perkuburan Islam Kampung Raja makin sempit perlukan kawasan baru

MUAR: Kawasan perkuburan sedia ada yang hampir penuh di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, di sini memaksa pihak pengurusannya mencari alternatif lain bagi mengatasi masalah berkenaan.

Kawasan tanah perkuburan yang mempunyai keluasan kira-kira tiga hektar itu kini memerlukan kawasan baru untuk kegunaan masyarakat Islam sekitarnya berikutan lebih 70 peratus daripada kawasan tanah wakaf itu sudah dipenuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, Azman Hashim

Pengerusi Jawatankuasa tanah wakaf berkenaan, Azman Hashim, 40, berkata kira-kira dua hektar daripada keluasan keseluruhan tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu hampir penuh dan memerlukan kawasan baru.


Beliau berkata, tanah perkuburan yang turut menempatkan Makam Sultan Alauddin Riayat Shah 1 itu digunakan oleh masyarakat Islam daripada tujuh kampung rangkaian dan tiga taman perumahan di sekitar Pagoh yang membabitkan kira-kira 1,000 rumah.

Katanya, kariah dari kawasan Kampung Raja, Kampung Tanggul Aur, Kampung Tengah, Kampung Selancar, Kampung Bukit Panjang, Kampung Muda Jaya, Kampung Jayor, Pekan Pagoh, Taman Seri Pagoh dan Rumah Rakyat Pagoh menggunakan tanah perkuburan itu.

MAKAM Sultan Alauddin Riayat Shah 1 berhampiran Masjid Jamek Kampung Raja Pagoh.

“Bagi menyediakan kawasan baru, Jawatankuasa Tanah Wakaf Perkuburan akan menggunakan baki kawasan seluas satu hektar yang perlu dibersihkan dan kerja meratakan tanah sedang dijalankan dan memerlukan kos yang tinggi.

“Kami memerlukan anggaran kos kira-kira RM20,000 bagi melaksanakan kerja pembersihan kawasan tanah wakaf berkenaan termasuk meratakan tanah, membina jalan serta membina sistem perparitan supaya kawasan itu tidak dinaiki air apabila hujan,” katanya kepada Berita Harian, di sini.

Azman berkata, satu kawasan seluas empat hektar sudah disediakan sebagai tapak Tanah Perkuburan Islam Pekan Pagoh berhampiran kampung itu, namun masih belum diwartakan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) untuk digunakan masyarakat sekitar pekan itu.

Katanya, buat masa ini, semua pengebumian jenazah dilakukan di tanah perkuburan Kampung Raja menyebabkan kawasan berkenaan semakin sempit dan pihak pengurusan mengambil langkah membersihkan kawasan baru bagi menampung kesesakan itu.

“Penubuhan jawatankuasa pengurusan tanah wakaf itu yang digerakkan sejak enam bulan lalu bertujuan untuk menjaga dan membersihkan kawasan perkuburan sedia ada dengan mengecat batu nisan serta meracun rumput liar yang tumbuh di sekitarnya,” katanya.

Bilal Masjid Jamek Kampung Raja, Abdullah Tahir, 73, berkata kerja membersih dan menjaga kawasan perkuburan itu dilaksanakan secara bergotong-royong yang digerakkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Katanya, dulu Makam Sultan Alauddin Riayat Shah 1 berhampiran masjid dijaga oleh seorang tukang kebun yang disediakan oleh JAJ, namun khidmat beliau ditamatkan sejak 15 tahun lalu dan jawatankuasa yang ada mengambil alih menguruskan kawasan bersejarah itu.

“Makam itu sepatutnya di bawah selenggaraan Kerajaan Melaka, namun tiada usaha tertentu yang diambil menyebabkan kami mengambil inisiatif mengecat dan membersihkan kawasan makam itu yang sering dikunjungi pelancong,” katanya.

Bendahari Tanah Wakaf itu, Zakaria Muhamad, berkata pihaknya memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos menyedia dan membersihkan tanah wakaf itu untuk kemudahan masyarakat Islam di kawasan itu pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon peruntukan daripada wakil rakyat kawasan itu untuk membiayai sebahagian kos tersebut namun hingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Saya turut mengharapkan anak jati kampung itu yang berada di perantauan atau yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing supaya turut memberikan sumbangan bagi melaksanakan kerja kebajikan,” katanya sambil mengharapkan sumbangan disalurkan kepada Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja melalui akaun Maybank Berhad 151044123291 demi kebajikan masyarakat Islam kampung itu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 04 MAC 2010

Tiada ulasan: