PENGUNJUNG SETIA

03 Mac 2010

DUA LAGI PONDOK POLIS DI LEDANG

LEDANG 2 Mac - Masyarakat di daerah ini bakal menikmati kemudahan dua buah pondok polis baru yang akan diwujudkan di Parit Bunga dan Bukit Kangkar di sini tidak lama lagi.

Kedua-dua pondok polis itu yang akan ditadbir oleh Balai Polis Sungai Mati dijangka memenuhi keperluan masyarakat khususnya dalam meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut.

Dengan setiap sebuah pondok menelan belanja kira-kira RM1.9 juta, anggota polis yang ditempatkan juga dapat berkhidmat secara lebih selesa.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, seramai dua anggota akan ditempatkan bagi setiap pondok, namun jumlahnya akan ditambah pada masa depan.

"Anggota di pondok polis ini akan menerima laporan dan menjalankan rondaan di kawasan sekitar.

"Di samping itu, ibu pejabat polis daerah akan turut membantu dengan menghantar anggota bagi menjalankan rondaan tambahan," katanya selepas majlis penyerahan kunci oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, Che Murad Sayang Ramjan bagi Pondok Polis Parit Bunga di sini hari ini.

Turut hadir, wakil syarikat kontraktor A.S.A. Construction & Management Sdn. Bhd., Mohamad Razdi Muhid serta Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Abu Bakar Esa.

Harun berkata, kedua-dua pondok polis itu lebih selesa dan turut dilengkapi kuarters bagi kediaman anggotanya.

Beliau berharap, masyarakat akan memanfaatkan kemudahan berkenaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha mencegah sebarang kegiatan jenayah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 MAC 2010

Tiada ulasan: