TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Mac 2010

71 RUMAH ROSAK DIPUKUL RIBUT

Hamim (dua dari kiri) dan Amran (kiri) sedang meninjau rumah mangsa ribut di Kampung Serom 5 Hulu, Ledang, malam tadi.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: “Ketika kejadian saya sedang menemani cucu mengulangkaji pelajaran di dalam rumah, tiba-tiba angin kuat datang secara mengejut diikuti hujan seperti hujan batu dan dalam beberapa minit bumbung beranda rumah saya diterbangkan angin,” kata Selamat Daud, salah seorang mangsa ribut di Kampung Serom 5 Hulu, di sini.

Menurut pesara guru itu, beliau tidak menyangka angin yang kuat serta hujan kira-kira jam 8.45 malam itu telah menyebabkan rumahnya serta rumah jiran-jiran rosak teruk diterbangkan angin selain dihempap pokok yang tumbang.

Katanya, semua barang-barang di dalam rumah basah manakala sebuah kereta miliknya rosak dihempap kayu garaj kereta yang turut roboh diterbangkan angin.

Selamat berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri, dua orang anak dan cucunya berada di dalam rumah sambil menonton televisyen manakala seorang lagi anaknya keluar bermain futsal.

“Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang menimpa keluarga walaupun rumah dan kereta serta barang-barang mengalami kerosakan.

“Ini merupakan kejadian kali kedua yang menimpa penduduk kampung ini di mana pada tahun lepas lebih 20 buah rumah rosak akibat dipukul ribut,” katanya ketika ditemui Berita Harian di rumahnya malam tadi.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman serta pemimpin Umno Bahagian Ledang telah bergegas ke kampung itu malam tadi sebaik menerima berita untuk meninjau keadaan dan menemui mangsa ribut.

Penghulu Mukim Serom, Abdul Latif Ahmad, memberitahu setakat jam 12 malam tadi, sebanyak 37 buah rumah di Serom 5 Hulu terlibat dalam kejadian ribut itu di mana lapan buah mengalami kerosakan teruk manakala di Serom 8 pula sebanyak enam buah rumah terlibat, tiga daripadanya rosak teruk.

Katanya, kerosakan teruk yang dialami itu antaranya bumbung rumah tercabut diterbangkan angin manakala sebahagiannya pula dihempap pokok yang tumbang dan sebuah balai basikal di Sekolah Agama Serom 8 turut diterbangkan angin.

Menurutnya, kerja-kerja memotong pokok yang tumbang ke arah jalan dan menimpa talian elektrik serta telefon telah dijalankan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak dengan kerjasama penduduk kampung.

Sementara itu, Hamim berkata, nilai kerugian yang dialami oleh mangsa ribut itu dianggarkan melebihi RM200,000 berikutan banyak kerosakan yang melibatkan kayu dan zing rumah yang memerlukan kos tinggi untuk membaikinya.

Katanya, beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal Jabatan Agama Johor akan turut menyalurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban yang mereka hadapi.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dan membaiki kerosakan akan dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk kampung dengan bantuan beberapa pihak seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Daerah Tangkak dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain.

Hamim berharap mangsa dapat bersabar dengan dugaan yang menimpa mereka dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa walaupun harta benda mengalami kerosakan dalam bencana itu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 12 MAC 2010

Tiada ulasan: