PENGUNJUNG SETIA

09 Mac 2010

ABDUL GHANI SIHAT, JALANKAN TUGAS SEPERTI BIASA

JOHOR BAHRU 8 Mac - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menjalankan tugas-tugasnya seperti biasa hari ini biarpun semalam diberi rawatan sebagai pesakit luar kerana mengadu tidak sihat badan semasa bermain golf.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Sa'odi Mat Atar berkata, Menteri Besar menghadiri sesi taklimat bersama agensi kerajaan mengenai isu pengairan Johor di pejabatnya, Bukit Timbalan pukul 9 pagi.

Malah, beliau turut menghadiri perjumpaan bersama beberapa kumpulan pelabur dari Sepanyol di pejabatnya pada tengah hari.

"Jadual Menteri Besar akan berjalan seperti biasa. Beliau juga akan menghadiri beberapa majlis selepas ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Ghani dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pakar Johor selepas mengadu tidak sihat semasa menyertai Pertandingan Golf Amal sempena Tahun Baru Cina di Kelab Golf Diraja Johor (RJCC), di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu dimasukkan ke hospital berkenaan pukul 9.10 pagi sebelum dibenarkan pulang pukul 12.56 tengah hari.

Abdul Ghani dilihat meninggalkan pekarangan hospital bersama isterinya, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin dengan menaiki kenderaan rasminya.

Jurucakap hospital berkenaan, Datuk Dr. M.Singaraveloo berkata, Menteri Besar itu berkemungkinan keletihan dan tidak cukup rehat ekoran jadual tugas yang padat.

Mohd. Sa'odi berkata, Menteri Besar tidak mendapat rawatan susulan di mana-mana hospital mahupun klinik kerana kesihatannya kembali stabil.

"Semalam mungkin beliau terlalu penat memandangkan jadual kerja bulan ini padat, malah kelmarin beliau merasmikan projek jalan raya Sengkang Batu 20-Kampung Teratai di Bukit Gambir, Ledang manakala pada malamnya bersama-sama warga bandar raya menyaksikan perarakan Chingay sehingga tengah malam," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 MAC 2010

Tiada ulasan: