TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2010

3 BUDAK TADIKA, GURU CEDERA DISERANG LELAKI TAK SIUMAN

VINCENT Tey Hui Seng dipangku ibunya  selepas menjalani rawatan akibat cedera di  kepala, selepas diserang lelaki kurang siuman di Tadika Sinario, Muar, semalam.
VINCENT Tey Hui Seng dipangku ibunya selepas menjalani rawatan akibat cedera di kepala, selepas diserang lelaki kurang siuman di Tadika Sinario, Muar, semalam.

MUAR: Tiga kanak-kanak tadika berusia enam tahun dan seorang guru cedera di kepala selepas diserang dengan penukul besi oleh seorang lelaki kurang siuman yang menceroboh masuk ke bilik darjah Tadika Sinario, Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman, di sini semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu, dua kanak-kanak iaitu Nur Nadrah Nabila Mohd Yusri dan Alex Tan Kar Eik, cedera parah apabila tempurung kepala mereka retak akibat diketuk dengan penukul besi, manakala seorang lagi rakan mereka, Vincent Tey Hui Seng turut cedera di tepi kepala.

Seorang pengetua wanita tadika berkenaan, Voon Siew Kiun, 45, yang cuba menghalang perbuatan lelaki itu turut cedera di bahu kanan akibat dipukul, selain matanya turut disembur dengan lada sulah.

Semua kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), manakala Voon mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Voon ketika ditemui pemberita di HPSF, berkata kejadian itu berlaku dengan pantas ketika semua murid dalam tiga kelas di tadika berkenaan sedang minum pagi, apabila seorang lelaki melompat pagar dan masuk ke kawasan tadika.
Katanya, beliau tidak mengenali atau mengecam lelaki itu kerana berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar.

Katanya, selepas memukul tiga murid, lelaki itu terus melarikan dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di hadapan pagar tadika dan pada masa yang sama dua lagi guru yang mengajar di kelas bersebelahan turut datang membantu apabila mendengar jeritan murid.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata polis menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki lelaki itu yang disifatkan sebagai `gila' dan `berbahaya' kerana menyerang murid tadika dengan menggunakan penukul besi.

“Lelaki itu dipercayai ‘orang gila’ kerana menceroboh tadika sebelum memukul tiga murid dan guru yang cuba menghalangnya dengan menggunakan penukul besi sebelum melarikan diri.

“Polis tidak akan membiarkan lelaki gila itu bebas dan kita sedang berusaha sedaya upaya selama 24 jam bagi mengesannya sebelum membawanya ke muka pengadilan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Katanya, pasukan khas itu yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli akan turut dibantu oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, IPD Ledang dan IPD Batu Pahat, selain Unit Anjing Pengesan.

Mohd Mokhtar turut meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai suspek atau kejadian itu supaya menghubungi talian IPD Muar 06-9526001 atau 06-9526222.

SUMBER: BERITA HARIAN, 11 MAC 2010

Tiada ulasan: