PENGUNJUNG SETIA

05 Mac 2010

TIADA KERETA TAPI DAPAT NOTIS GAGAL BAYAR KOMPAUN

MUAR: Seorang buruh hairan dengan tindakan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang mengeluarkan notis tindakan mahkamah terhadapnya selepas didakwa gagal membayar kompaun letak kereta yang bukan miliknya, sebaliknya nombor pendaftaran kereta itu sama dengan nombor motosikalnya.

Mohd Hasim Mohd Badri, 56, dari Kampung Melayu Raya, Sagil, dekat Tangkak, berkata beliau tidak pernah memiliki kereta dan tidak pernah ke Simpang Renggam sehingga dikenakan kompaun bagi kenderaan lain.

Katanya, pada mulanya beliau menerima notis kompaun dari MDS pada 11 Disember 2007 lalu bagi tiga kesalahan tidak meletakkan kupon bayaran pada 19 Mei 2004, 24 Julai 2004 dan 2 Ogos 2004 membabitkan kompaun bernilai RM90.

“Saya bukan tidak mahu membayar kompaun itu tetapi saya tidak memiliki kereta dan nombor kenderaan yang dinyatakan dalam notis iaitu JEQ3935 adalah nombor pendaftaran motosikal saya, bukannya nombor kereta seperti dinyatakan dalam notis berkenaan.

“Susulan itu, saya menulis surat kepada MDSR pada 10 Januari 2008 memaklumkan mengenai kejadian itu dengan mengemukakan salinan geran motosikal dan surat akuan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyelesaikan masalah kekeliruan itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pernah menerima sebarang maklum balas daripada MDSR, sehinggalah yang terbaru beliau sekali lagi menerima notis peringatan terakhir bertarikh 18 Februari lalu yang meminta beliau menjelaskan bayaran RM90 dalam tempoh 14 hari atau menghadapi tindakan mahkamah.

Katanya, beliau juga bimbang kerana jika nombor pendaftaran yang digunakan oleh kereta itu adalah palsu akan menyebabkan masalah lain timbul jika ia digunakan untuk tujuan jenayah kerana nombor pendaftaran yang sebenarnya adalah menggunakan namanya.

“Saya tahu masalah itu nampak kecil kerana hanya membabitkan RM90 tetapi kesalahan itu bukan dilakukan oleh saya dan saya juga bimbang jika masalah itu berterusan kerana mungkin nombor pendaftaran motosikal itu digunakan untuk tujuan lain sehingga boleh menimbulkan kesulitan kepada saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 05 MAC 2010

Tiada ulasan: