PENGUNJUNG SETIA

22 Mac 2010

KARNIVAL SUKAN JPMM MERIAH

Asojan menyampaikan hadiah kepada pasukan futsal yang memenangi pertandingan.

Pasukan Hang Tuah dan Seri Jaya beraksi dalam perlawanan akhir futsal Karnival Sukan JPMM DUN Gambir.


HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

Pemenang dipilih wakili DUN Gambir pada peringkat negeri

LEDANG: Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir telah mengadakan Karnival Sukan JPMM bagi mencari peserta bagi mewakili kawasan itu ke kejohanan antara DUN di peringkat negeri.

Pengerusinya, M Asojan, berkata semangat kesukanan yang tinggi serta komitmen para peserta menjadikan karnival itu berlangsung dalam suasana meriah walaupun masing-masing mahu pasukan mereka menjadi juara dalam pertandingan yang disertai.

Katanya, komitmen yang diberikan oleh pemimpin masyarakat di DUN Gambir khususnya Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat membawa pasukan dari kampung mereka menyertai karnival itu dapat mencungkil bakat sukan di kawasan itu.

“Kerjasama yang diberikan bagi menjayakan karnival ini dapat melahirkan pasukan yang berwibawa dalam setiap kategori bagi mewakili DUN Gambir ke kejohanan sukan di peringkat negeri tidak lama lagi.

“Johan dalam mana-mana permainan yang dipertandingkan perlu meningkatkan usaha dengan membuat persediaan dan latihan yang mencukupi untuk menghadapi kejohanan yang bakal disertai 56 DUN di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Sukan JPMM DUN Gambir di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil, Tangkak, di sini.

Dalam karnival itu, empat kategori permainan telah dipertandingkan iaitu futsal, bola keranjang, bola jaring dan sepak takraw. Kesemua pertandingan telah dijalankan di Gelanggang Sukan Pelbagai Guna Taman Warisan Sagil dan Dewan SMK Sagil.

Bagi pertandingan futsal sebanyak 20 pasukan bertanding untuk kategori terbuka lelaki manakala kategori lelaki bawah 12 tahun dan veteran masing-masing empat pasukan.

Pasukan Seri Jaya telah menjuarai pertandingan futsal kategori terbuka selepas menewaskan pasukan Hang Tuah. Bagi kategori lelaki bawah 12 tahun, pasukan Cempaka FC telah menjadi johan manakala pasukan Parit Pulai memenangi bagi kategori veteran.

Bagi perlawanan bola keranjang, sebanyak enam pasukan menyertainya bagi kategori terbuka lelaki manakala empat pasukan untuk kategori terbuka wanita. Pasukan SBC Sagil muncul johan bagi kategori terbuka lelaki manakala pasukan JKKK Bukit Gambir B juara bagi kategori terbuka wanita.

Pertandingan bola jaring telah disertai tujuh pasukan dan dimenangi oleh MR Feminin manakala pasukan MTSC B muncul johan dalam pertandingan sepak takraw setelah menewaskan pasukan Melayu Raya yang turut disertai 15 pasukan lain.

Asojan yang juga ADUN Gambir telah menyampaikan hadiah berupa pingat kepada para pemenang Karnival Sukan JPMM itu dan berharap mereka dapat memberikan komitmen yang tinggi supaya dapat menjuarai setiap kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan di peringkat negeri kelak.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 22 MAC 2010

Tiada ulasan: