TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2010

UMAT ISLAM DIMINTA MANFAAT SWJ

Orang ramai menyerbu kaunter Saham Wakaf Johor (SWJ) yang dibuka sempena sambutan Maulidur Rasul di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir, Ledang.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Umat Islam di negeri ini diseru agar menyertai Saham Wakaf Johor (SWJ) yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi mengembalikan kesinambungan ibadat wakaf di kalangan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Ahmad Faisal Mohamed, berkata SWJ merupakan satu skim di mana masyarakat Islam membeli saham dengan harga RM10 seunit daripada MAIJ dan mewakafkannya untuk manfaat umat Islam.

Katanya, hasil penyertaan dalam SWJ akan disumbangkan bagi kegunaan umat Islam di negeri ini seperti pembelian sebuah bangunan asrama enam tingkat di Kaherah, Mesir untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar Johor yang menuntut di Universiti Al-Azhar.

“Bangunan asrama bernilai RM6 juta itu adalah untuk kegunaan pelajar kita yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan melalui skim SWJ ini MAIJ telah berjaya mengumpulkan kira-kira RM3 juta.

“Orang ramai boleh menyertai saham wakaf ini dengan pembelian sekurang-kurangnya seunit di Pejabat-pejabat Agama Daerah, kaunter bergerak MAIJ ataupun melalui perbankan internet yang maklumatnya boleh didapati dengan melayari laman web rasmi MAIJ di www.maij.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku ahli panel program Forum Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Persatuan Peniaga Pasar Tani Kekal Bukit Gambir dan Jabatan Agama Johor (JAJ) di perkarangan Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir, di sini.

Forum yang dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Wakaf MAIJ, Mustafahayudin Abd Khalim itu turut disertai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Johor (JAJ), Mohd Noh Kadri selaku ahli panel.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Faridulatrash Md Mokri; Pegawai FAMA Daerah Muar/Ledang, Abd Malek Ramli dan Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Tani Bukit Gambir, Abd Karim Junit.

Ahmad Faisal berkata, walaupun ibadat wakaf tidak wajib namun ganjarannya amat besar dan ia bertujuan untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam tanpa meminta daripada pihak yang tertentu.

Katanya, peluang umat Islam untuk mendapatkan ganjaran di akhirat kelak akan tertutup sekiranya pembangunan sesebuah masjid contohnya dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu, maka melalui ibadat wakaf itu kita dapat menyalurkan sumbangan kepada pembangunan itu.

“Kita perlu mewakafkan sesuatu yang bermanfaat dan mempunyai jangka hayat yang panjang seperti tanah atau bangunan supaya kesinambungan ibadat wakaf itu akan berterusan dan ganjarannya akan diperolehi oleh mereka yang mewakafkan harta tersebut.

“Sekiranya kita hendak mewakafkan tanah untuk dijadikan tapak masjid atau surau mahupun untuk kegunaan lain, tanah yang hendak diwakafkan itu perlu didaftarkan kepada MAIJ selaku pemegang amanah tunggal kepada orang Islam supaya tidak timbul masalah di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, selain ibadat wakaf ini, umat Islam juga wajib menunaikan zakat dan pada tahun 2009, MAIJ telah berjaya mengutip RM109.2 juta wang zakat daripada individu dan korporat di negeri ini.

Katanya, umat Islam perlu mengamalkan ibadat itu untuk menyuburkan budaya bersedekah sebagai amalan mulia yang perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 23 MAC 2010

Tiada ulasan: