TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2010

FOKUS PENCAPAIAN AKADEMIK, SUKAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhnews@bharian.com.my


ABDUL RAHIM menyampaikan pingat kepada pemenang dalam Kejohanan Olahraga Kali Ke-25, Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat sambil diperhatikan Mazlan (kiri).

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

Pelajar SKS5D diingat tidak lalaikan pelajaran demi masa depan mereka

LEDANG: Mohd Mahruz Subadi dan Fatin Imani Abd Aziz telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati dalam Kejohanan Olahraga Kali Ke-25, Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D) yang berlangsung di padang sekolah itu, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan (Kokurikulum), Rozaini Abd Hamid, berkata pemilihan kedua-dua murid itu berdasarkan pencapaian cemerlang mereka dalam kegiatan kokurikulum terutama sukan dan permainan.

Katanya, penglibatan murid dalam bidang sukan selain memenuhi aktiviti kokurikulum, ia juga dapat membina kecergasan badan dan minda mereka yang sedikit sebanyak membantu dalam pembelajaran.

Menurutnya, pasukan Rumah Wira telah menjuarai kejohanan itu dengan memungut 293 mata manakala pasukan Rumah Satria menduduki tempat kedua dengan 270 mata. Tempat ketiga disandang oleh Rumah Juara manakala Rumah Waja di tempat keempat.

Katanya, selain penglibatan murid dalam kejohanan itu, penyertaan penduduk kampung terutama ibu bapa dan pemuda dalam acara yang disediakan memeriahkan lagi kejohanan sukan itu.

Kejohanan itu telah dirasmikan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Ledang, Abdul Rahim Talib yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama dalam kejohanan itu, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru, Mohd Noh Abd Montalib, Naibnya, Rosli Saring, Ketua Kampung Simpang 5 Darat, Misnan Abd Jalal dan Guru Besar, Mazlan Ahmad.

Abdul Rahim dalam ucapan perasmiannya berkata, walaupun penglibatan dalam sukan digalakkan namun setiap murid perlu fokus kepada bidang akademik yang lebih penting untuk masa depan mereka.

Katanya, kecemerlang dalam akademik amat penting kerana ia menentukan masa depan seseorang terutama bagi murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Beliau turut memberikan semangat kepada murid yang bakal mengambil UPSR dengan menyumbangkan RM100 bagi setiap murid yang cemerlang dengan memperoleh 5A dalam peperiksaan itu kelak.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 30 MAC 2010

Tiada ulasan: