TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2013

RM10.6J BANTU 2,686 USAHAWAN

ABDUL Ghani Othman) menyerahkan sijil kepada seorang penerima sambil diperhati Ab. Aziz Kaprawi (kiri) pada Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan PGU di Ledang, semalam. - UTUSAN/Zulhisham Isahak
 
LEDANG 15 Feb. - Sebanyak RM10.6 juta bantuan diberikan menerusi Program Galakan Usahawan (PGU) kepada 2,686 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini sejak 15 tahun lalu dan kini hasil pendapatan mereka dianggarkan berjumlah RM60 juta setahun.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, menerusi pangkalan data Jabatan Pertanian negeri, PGU berjaya melahirkan 20 usahawan IKS dalam bidang pemprosesan makanan dengan hasil jualan RM1 juta setahun.

“Ini adalah hasil kejayaan PGU iaitu merupakan kesinambungan daripada program Kempen Gerakan Kesedaran (KGK) yang dilaksanakan 14 atau 15 tahun lalu. Saya sudah melawat bengkel mereka (pengusaha IKS) dan mereka bukan sahaja dapat bertahan tetapi terus berkembang dan dapat meluaskan pasaran lagi.

“Bagi menjayakan program KGK ketika itu, kita satukan pengusaha IKS yang bertaburan di seluruh negeri dan kita mula beri bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM1 juta, kemudian RM2 juta dan seterusnya," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan PGU di tapak pasar malam Pekan Serom, Serom 3 di sini hari ini.

Abdul Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom meminta usahawan IKS meningkatkan lagi perusahaan masing-masing supaya mampu bersaing dalam pasaran lebih luas dan segala peluang dan kemudahan di bawah PGU perlu dimanfaatkan.

Beliau turut mencadangkan pada masa akan datang supaya pengusaha IKS yang beroperasi di rumah masing-masing supaya dikumpulkan di satu kawasan khas dipanggil bengkel setempat supaya produk mereka dapat dipasarkan dalam skala lebih besar.

“Mereka perlu mengetengahkan hasil di Iskandar Malaysia kerana kawasan ini menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia. Saya percaya semua tabah dan gigih untuk mengharungi kemungkinan bermacam-macam cabaran.

“Untuk itu, kita perlu hasilkan produk yang bermutu dan berkualiti termasuk pada paras diiktiraf pasaran masa kini, selain melakukan pembungkusan dengan lebih menarik agar dapat masuk ke pasaran Iskandar Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM2 juta untuk mengembangkan projek-projek IKS dalam pelbagai kategori.

Menurutnya, walaupun bantuan menerusi PGU diberikan, masih terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan, antaranya masalah pemasaran produk berpunca daripada kualiti pembungkusan yang rendah dan kualiti tidak konsisten.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: