PENGUNJUNG SETIA

01 Februari 2013

NEGARA TERJEJAS PELAJAR KURANG MINAT SUBJEK SAINS, MATEMATIK

Ledang: Projek Landskap Sains dan Matematik anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud Iskandar (SMKTMI), Sungai Mati, di sini, mampu memperkasakan kedua-dua mata pelajaran itu di kalangan pelajar khususnya di Ledang.

Projek hasil perkongsian pintar UTM dan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor itu juga boleh meningkatkan semangat dan minat pelajar meneroka bidang sains dan inovasi.

Ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri berkata, negara memerlukan lebih ramai modal insan mempunyai kepakaran dalam bidang Sains dan Matematik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menuju era globalisasi.

Menurutnya, bidang itu mampu membantu menyelesaikan masalah sosio ekonomi masyarakat melalui peluang pekerjaan berprestij seperti jurutera, doktor, akauntan dan saintis.

"Sikap pelajar yang kurang berminat mengambil mata pelajaran Sains boleh menjejaskan usaha kerajaan melahirkan lebih ramai golongan berkelayakan untuk berkhidmat dalam bidang berkenaan," katanya mewakili Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan Program Komuniti Landskap Projek Sains dan Matematik di SMKTMI, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Kerja Pejabat Harta Benda UTM Prof Madya Dr Abdul Latif Salleh, Pegawai Pelajaran Daerah Ledang Affandi Salleh, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Md Jemray Sulaiman dan Pengetua SMKTMI Zakaria Hayun.

Hamim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Ledang berkata, projek itu bukan saja bermanfaat kepada pelajar sekolah berkenaan, tetapi boleh dikongsi bersama pelajar dan murid sekolah rendah di sekitar Ledang dan Muar menerusi program lawatan.

Terdahulu, Dr Abdul Latif ketika berucap mengingatkan pelajar supaya meningkatkan pengetahuan dalam bidang Sains dan Matematik dengan memberikan tumpuan yang lebih kepada dua mata pelajaran itu.

SUMBER: HARIAN METRO, 01 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: