TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

10 Februari 2013

TAHUN BARU CINA HAMBAR

Wartawan Sinar Harian
Tahun Baru Cina hambar
Bomba berjaya mengawal api dalam masa 20 minit dalam kejadian kebakaran di Jalan Sialang, Tangkak, petang kelmarin.
 
LEDANG- Sambutan Tahun Baru Cina buat sebuah keluarga dari Jalan Sialang, Tangkak, di sini, hambar apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.17 petang itu, pengalaman menyedihkan buat semua ahli keluarga terlibat ketika masyarakat Cina sedang bergembira menanti ketibaan perayaan sekaligus menyebabkan mereka mengalami kerugian yang mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.

Salah seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Yau, 27, berkata, dia bersama lima ahli keluarga lain sedang menikmati menikmati makan malam di ruang tamu rumah ketika kejadian.

Menurutnya, mereka kemudiannya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dan disusuli bau hangit dari bahagian belakang rumah ketika sedang menikmati juadah makan malam.

“Saya berasa tidak sedap hati dan mahu memeriksa bahagian yang mengeluarkan letupan, namun terkejut melihat api sudah menjulang membakar rumah.

“Saya terlalu panik dan menjerit mengarahkan ahli keluarga yang lain keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Yau berkata, jiran yang menyedari kejadian turut membantu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan kecemasan bagi mengelakkan api terus merebak ke kediaman berhampiran.

Menurutnya, Tahun Baru Cina kali ini kurang bermakna kerana kegembiraan untuk menyambutnya telah lenyap dengan kejadian yang berlaku selain terpaksa menumpang rumah keluarga lain untuk perayaan kali ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Tangkak, Malley Abd Salim berkata, sebaik menerima laporan kejadian, seramai 10 anggota berserta sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kita turut dibantu tujuh anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Bukit Gambir dan mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran.

“Operasi tamat jam 9.19 malam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan keselamatan di kediaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: