TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Februari 2013

JOHOR PENGELUAR UTAMA MAKANAN

LEDANG 16 Feb. - Johor bakal menjadi pengeluar makanan bersih dan selamat untuk bekalan negara ini hasil pengeluaran daripada projek Lembah Pertanian Bioteknologi di Kota Tinggi yang mempunyai keluasan kira-kira 3,634 hektar.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman (gambar) berkata, sektor pertanian di negeri ini sedang mengorak langkah ke arah itu berikutan permintaan tinggi terhadap produk makanan secara bio organik pada masa kini selain mempunyai pasaran yang luas dalam atau luar negara.

Katanya, kelebihan projek itu yang sudah menarik pelaburan kira-kira RM1.3 bilion ialah mengamalkan pembangunan pertanian secara mapan dengan penggunaan bioteknologi yang tinggi di samping mengekalkan sistem ekologi di kawasan projek.

"Pengguna sekarang lebih memilih untuk terhindar (daripada kaedah pertanian) yang menggunakan kimia dan kita di Johor sudah pun memulakan projek pertanian berasaskan bio organik yang dilakukan secara besar-besaran.

"Jadi kita perlu tingkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan pertanian cara ini juga digalakkan untuk orang ramai melakukannya di kawasan rumah," katanya berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian Negeri Johor di tapak pasar malam pekan Serom, Serom 3, dekat sini semalam.

Abdul Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, projek tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mengurangkan import bahan itu tetapi juga menggalakkan perubahan baru dalam sektor pertanian. 

Melalui peralihan daripada pertanian konvensional dan berskala kecil yang terhad disebabkan oleh pelaburan yang kecil kepada pertanian bioteknologi yang menggalakkan pertanian berskala komersial dengan pelaburan yang tinggi, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman makanan di negeri ini kerajaan memperkenalkan program tanaman integrasi dan tanaman selingan dengan kaedah mengoptimumkan penggunaan tanah di kebun atau ladang kelapa sawit dan getah.

Sebagai contoh katanya, melalui program tanaman integrasi petani-petani disarankan supaya memelihara ternakan seperti kambing, lembu dan ikan dan melalui tanaman integrasi ditanam dengan ubi, pisang, keledek dan jagung.

Bagi menggalakkan kedua-dua program tersebut, tambah beliau, kerajaan mewujudkan Program Meningkatkan Pengeluaran Tanaman dengan memberi insentif tunai kepada petani untuk melipatgandakan hasil tanah.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 17 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: