TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Februari 2013

14,721 TERIMA BR1M 2.0 DI PARLIMEN PAGOH

LEDANG 14 Feb. - Seramai 14,721 penduduk di Parlimen Pagoh menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 dan fasa pertama mula diagih hari ini kepada 2,041 penerima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang sebanyak RM879,500.

ADUN Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat berkata, daripada jumlah itu, kawasannya secara keseluruhan mempunyai 7,367 penerima manakala DUN Jorak 7,354 penerima dan pengagihan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Ini adalah janji ditepati oleh kerajaan dan ini adalah salah satu daripada berpuluh atau beratus janji yang ditunaikan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat.

"Bukan sahaja BR1M tetapi kerajaan juga membantu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan," katanya berucap pada majlis penyerahan BR1M 2.0 bagi DUN Bukit Serampang, di Felda Sri Jaya, di sini hari ini.

Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sambil disaksikan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Sementara itu, salah seorang penerima, Fathurrahman Kasim, 38, dari Kampung Parti Raja Grisek yang cacat kedua-dua tangan dan kaki, teruja apabila berpeluang berbual serta bermesra dengan Muhyiddin tanpa disangka-sangka.

Katanya, tidak sia-sia dia yang datang bersama isteri dan dua anaknya datang ke dewan tersebut seawal pukul 7.45 pagi lagi selain merupakan penerima pertama tiba di situ, bersyukur kerana sekali lagi menerima BR1M.

"Wang BR1M sebanyak RM500 yang saya terima hari ini akan disimpan untuk kegunaan pada waktu kecemasan. Bantuan ini sangat bermakna buat diri saya dan keluarga kerana dapat mengurangkan sedikit beban dan tanggungan.

"Wang BR1M pertama saya gunakan membeli kelengkapan persekolahan anak sulung, Mohamad Haikal, 6, manakala selebihnya menampung pembelian keperluan harian rumah," ujarnya yang bekerja di stesen minyak dan dikategorikan orang kelainan upaya (OKU).

Seorang lagi penerima, Hassan Abu Bakar, 56, hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan pemberian BR1M 2.0 dan ia membolehkannya menerima bantuan tersebut buat kali kedua.

Hassan yang berkerusi roda berikutan kecederaan dua kaki dialaminya akibat kemalangan jalan raya pada 2005 menganggap bantuan tersebut sebagai rezeki yang tidak dijangka.

Dia berharap, kerajaan BN sedia akan kekal memerintah selepas ini kerana nasib golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepertinya akan terus terbela sekali gus dapat memastikan keadaan ekonomi bertambah baik dan BR1M dapat diberi berterusan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: