PENGUNJUNG SETIA

21 Februari 2013

RM20 JUTA NAIK TARAF TANGKAK

LEDANG 20 Feb. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan melaksanakan projek pembangunan untuk menambah baik dan membina infrastruktur serta kemudahan awam di daerah ini tahun ini dengan kos keseluruhan RM20 juta.

Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin berkata, antara projek yang akan dilaksanakan itu ialah menaik taraf surau, masjid, jalan raya, parit dan lampu jalan di beberapa kawasan pekan, taman dan tempat rekreasi di bawah selenggaraan pihaknya.

"Kita sudah pun bermula dengan 40 projek pada pertengahan Januari lalu dengan kos awal RM1.6 juta. Kesemua projek awal tersebut hanya mengambil masa selama empat minggu dan dijadualkan siap pertengahan Mac ini.

"Peruntukan yang diterima MDT adalah daripada Kerajaan Pusat dan disalur di bawah pembangunan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui dalam Majlis Kurniaan Bungkusan Peringkat Daerah Ledang, Muar dan Segamat di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang, di Sungai Mati, dekat sini semalam.

Tuanku Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah mencemar duli merasmikan majlis itu dan turut menyampaikan bantuan kepada 450 penduduk kurang bernasib baik di Ledang, Muar dan Segamat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamin Samuri; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam dan Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin.

Ab. Han yang juga Pegawai Daerah Ledang berkata, projek kemudahan lain akan dilakukan secara berperingkat dan MDT tidak hanya menumpukan pembangunan di kawasan bandar malah di luar bandar.

"Selain memberi keselesaan, projek pembangunan itu juga dapat mewujudkan persekitaran selamat misalnya penambahan tiang-tiang lampu di kawasan tertentu. Langkah itu dapat mencegah jenayah dan menghindarkan maksiat terutama di taman-taman perumahan dan tempat-tempat rekreasi," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan itu akan meningkatkan imej daerah ini yang terkenal dengan keistimewaan gunung Ledang dan dikenali dengan jolokan bandar tekstil.

Sementara itu, mengenai usaha MDT membantu kerajaan dalam membasmi kemiskinan, Ab. Han berkata, Pejabat Daerah Ledang mempunyai projek khas di bawah program Pembasmian Kemiskinan dengan kerjasama semua jabatan di sini, untuk mengatasi masalah itu.

Menurutnya, antara yang dilakukan termasuk pembinaan rumah baharu dan baik pulih rumah serta pemberian bantuan sara hidup kepada yang layak.

Ditanya mengenai kawasan Sungai Mati yang dilihat pembangunannya masih di takuk lama, beliau berkata, usaha itu terpulang kepada pihak pemaju atau swasta dan MDT hanya akan membantu dari segi keperluan asas.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: