TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 Februari 2013

ORANG MUDA HARUS PUNYA IDEALISME

RIBUAN orang muda dan belia yang hadir pada Majlis Pelancaran My Beautiful Malaysia peringkat Johor di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, semalam. - utusan/Ishak Rahmad 
 
MUAR 3 Feb. - Golongan muda harus mempunyai idealisme sendiri seiring dengan tuntutan semasa bagi membolehkan mereka menyumbang dalam pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, generasi muda pada setiap zaman mempunyai idea dan gagasan sendiri dalam membentuk serta menyumbang kepada negara dan kelebihan itu harus berterusan hingga kini.

"Kita jangan lupa anak muda pada zaman lalu juga punya kekuatan idealisme yang tinggi dan kuat semangat juang sehingga membolehkan kemerdekaan negara tercapai. Semua ini dipelopori oleh kekuatan anak muda dan idealisme sendiri.

"Zaman demi zaman, dekad demi dekad, sekarang sudah tiba giliran orang muda masa kini mengetengahkan idealisme mereka. Jadi acara hari ini dapat membangkitkan semangat dan dapat diterjemah dalam bentuk amalan," ujarya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian My Beautiful Malaysia peringkat negeri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Infra Cablers Sdn. Bhd., Norhisham Mohamad yang juga Pengarah Urusan Utusan Printcorp dan Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan.

Beliau berkata, golongan muda masa sekarang perlu memanfaatkan minat dan bakat mereka dengan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan supaya mereka dapat menyumbang dalam arus pembangunan negara.

Abdul Ghani berkata, dengan kekayaan dan kemakmuran negara yang dikecapi ketika ini, aktiviti kesukarelaan dapat dilakukan tanpa banyak halangan.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung itu, Muhyiddin turut menyertai aktiviti mengecat kaunter tiket stadium berkenaan selain menanam pokok di kawasan tapak acara bersama sukarelawan My Beautiful Malaysia.

Selepas itu beliau menyaksikan acara penyerahan replika kunci dan kenderaan pelbagai guna (MPV), Hyundai Grand Starex Royale yang disumbangkan oleh Infra Cablers Sdn. Bhd. dan Utusan Printcorp kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: