LEDANG 26 Okt. - Lebih daripada 30 peratus perniagaan di negara ini belum didaftarkan dengan pelbagai agensi kerajaan menyebabkan berlaku kesukaran untuk membantu membangunkan sektor terbabit.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir.
Hamim Samuri berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, sehingga
kini hanya 645,136 syarikat sudah didaftarkan iaitu mewakili 97.3
peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
"Lebih 30 peratus daripada jumlah berkenaan atau kira-kira 220,000
perniagaan terutama dalam bidang tidak formal termasuk perniagaan secara
dalam talian masih belum didaftarkan.
"Kita dapati kesedaran masih belum ada bagi peniaga dan usahawan ini
untuk mendaftarkan perniagaan mereka yang menyukarkan kita untuk memberi
pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan," katanya dalam sidang akhbar
selepas merasmikan Hari Terbuka Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Mikro 2013 Parlimen Ledang, di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Lebih 200 usahawan kecil di sini menyertai hari terbuka berkenaan
yang dihadiri pelbagai agensi kerajaan selain ceramah oleh tokoh-tokoh
perniagaan berjaya.
Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, kebanyakan perniagaan
yang tidak didaftarkan itu membabitkan sektor pengeluaran, perkhidmatan
dan perbankan.
Katanya, pemilik perniagaan itu perlu mendaftar dengan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan mendapat pinjaman dan pelbagai
geran termasuk daripada kementerian yang boleh memberi pinjaman menerusi
Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) serta SME Bank.
Beliau berkata, bantuan tanpa mengira bangsa itu akan membantu
menyediakan peluang mendapatkan modal, latihan dan pengurusan syarikat
dengan beberapa skim yang disediakan mengikut kehendak serta perniagaan
masing-masing.
"Sebagai contoh, pinjaman yang disediakan SME Bank membabitkan
minimum RM50,000 hingga RM1 juta berdasarkan perniagaan yang dijalankan
pemohon," katanya.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2013