Lapan premis kedai makan diarah tutup
Zaharah (tengah) memeriksa tahap kebersihan dapur sebuah kedai makan dalam operasi dilakukan, kelmarin.
 
LEDANG – Pejabat Kesihatan Ledang mengarahkan lapan premis kedai makan di sekitar daerah ini supaya ditutup sementara.

Kesemua premis berkenaan didapati tidak menepati ciri kebersihan seperti yang termaktub dalam Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Arahan itu dikeluarkan menerusi operasi empat jam diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Ledang, Dr Zaharah Mohd Salleh bersama 21 kakitangannya, malam kelmarin.

Zaharah berkata, operasi itu adalah bertujuan untuk memastikan pengendali makanan mematuhi syarat kebersihan diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Keselamatan Makanan 2009.

“Sebanyak 22 premis diperiksa dan daripada jumlah itu, 10 premis lain diberi ‘Arahan Kerja’ di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983.

"Ia antara usaha memberi kesedaran kepada pengusaha kedai makan mengenai aspek kebersihan bagi mengelak penyakit bawaan makanan.

“Pemilik atau pengendali makanan terbabit diberi tempoh dua minggu untuk memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan bersih sebelum pemeriksaan semula dilakukan pegawai kesihatan,” katanya semalam.

Zaharah berkata, sebahagian besar premis dikunjungi langsung tidak mematuhi peraturan dikeluarkan Pejabat Kesihatan dan tidak mengamalkan ciri-ciri kebersihan terutama di bahagian dapur.

“Kita khuatir pengabaian aspek penting itu (ciri-ciri kebersihan) akan mendedahkan risiko penyakit kepada pelanggan.

“Selain diberi notis arahan tutup, kita turut memberikan nasihat kepada pemilik premis supaya mengutamakan aspek kebersihan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan bagi mengelakkan dikenakan tindakan,” katanya.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 11 OKTOBER 2013