TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Oktober 2013

VARIETI PADI BAHARU MRQ 74 DIPERKENAL

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamad (kanan) menanam benih padi MRQ 74 simbolik Perasmian Perlaksanaan Kaedah Padi SRI Lot Sawah Kesang Tasek, Ledang, Muar, Johor semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad

LEDANG 10 Okt. - Varieti padi baharu, MRQ 74 dengan penanaman secara sistem intensifikasi (SRI) akan diperkenal di 1,531 hektar sawah di seluruh negeri ini tahun depan bertujuan meningkatkan hasil selain mengurangkan kebergantungan terhadap beras wangi import.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, penggunaan benih itu dengan kaedah penanaman SRI adalah berasaskan konsep pertanian semulajadi (NF) untuk menghasilkan kualiti beras yang bermutu, bersih, halal dan terjamin selamat.
 
"Kelebihan MRQ 74 yang merupakan varieti Maswangi adalah kandungan gula di bawah 40 peratus berbanding varieti lain. Begitu juga varieti ini tahan serangan penyakit dan dihasilkan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
"Produktiviti MRQ 74 melalui SRI mampu mencecah antara lima hingga enam tan metrik bagi sehektar berbanding tiga atau empat tan metrik dengan benih biasa," katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Petak Percubaan Pengurusan SRI Tanaman Padi MRQ 74 dan Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Muar/Ledang di Kesang Tasek di sini hari ini.
 
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Mustapha Omar dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi.
 
Ismail berkata, dengan benih dan kaedah itu bukan sahaja hasil mampu meningkat antara 50 hingga 100 peratus tetapi juga menjimatkan penggunaan benih sehingga 90 peratus dan penggunaan air 25 hingga 50 peratus.
 
Beliau berkata, kos pengeluaran khasnya penggunaan baja dan racun kimia untuk mengawal serangga atau penyakit yang secara langsung menjejaskan alam semula jadi dapat dikurangkan selain mengembalikan kesuburan tanah melalui penggunaan mikro organisma efektif (EM).
 
Beliau berkata, penggunaan benih dan sistem itu di negeri yang bukan jelapang padi seperti Johor dapat bertahan dalam musim kemarau dan proses menggembur tanah hanya perlu dilakukan dua kali berbanding kebiasaannya dilakukan beberapa kali.
 
"Cara yang dipanggil NF ini lebih mesra alam dengan mengembalikan semula keseimbangan alam semula jadi. Misalnya hidupan air di sawah seperti ikan haruan, keli, sepat, belut dan puyu kembali membiak serta hidup dengan baik.
 
"Serangga berguna akan hidup bebas serta bantu ekosistem sawah padi dengan baik. Kaedah ini juga dapat mengamalkan cara-cara membuat baja dan biopestisid semula jadi untuk mencegah perosak dan penyakit tanaman padi," katanya.
 
Sementara itu, Mustapha berkata, penggunaan SRI diterima pakai di 50 buah negara, antaranya Jepun, India, Nepal, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Brazil, Panama dan Mesir sebagai kaedah alternatif untuk hasil tuaian berganda.
 
Di Johor, katanya, Ledang terpilih sebagai projek perintis kerana 60 peratus daripada pengeluaran padi di negeri ini disumbangkan dari daerah ini yang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 580.16 hektar dengan 399 peserta.
 
Beliau berkata, terdapat lima kawasan sawah padi utama di sini iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 74.70 hektar melibatkan 48 peserta, Kesang Gate (32.4 hektar dengan 30 peserta), Pulau Penarek (50.7 hektar dengan 11 peserta), Telok Rimba (151.52 hektar dengan 90 peserta) dan Sawah Ring (270 hektar dengan 220 peserta).

 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: