PENGUNJUNG SETIA

23 Oktober 2013

RM1 JUTA NAIK TARAF DEWAN KOLEJ MARA

HAMIM Samuri (tengah) menerima cenderamata daripada Mohamed Nasir Talib pada majlis perasmian Pusat Latihan Industri Makmal Mara-Ni di KKTM di Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 22 Okt. - Dewan utama Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang di sini yang sering dijadikan tempat penganjuran majlis-majlis rasmi kerajaan akan dilengkapkan pendingin hawa dengan kos keseluruhan kira-kira RM1 juta.
 
 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, pihaknya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad yang bersetuju untuk menaik taraf kemudahan di dewan itu untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai.
 
 
"Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kemudahan sedia ada terutamanya dinikmati penuntut kolej di sini," katanya sebelum merasmikan Bangunan Makmal Mara-Ni dan Blok Industri KKTM Ledang dekat sini baru-baru ini.
 
 
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diiringi oleh Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi kemudiannya merasmikan bangunan itu yang siap dibina pada awal 2010.
 
 
KKTM yang berkeluasan 70 hektar kini mempunyai lebih 400 penuntut yang mengikuti lima program iaitu Diploma Kejuruteraan Bioperubatan dalam pengkhususan terapeutik, makmal, diagnostik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta radiologi dan pengimejan.
 
 
Apatah lagi KKTM kini bekerjasama dengan beberapa syarikat besar dan bertaraf antarabangsa seperti Radibems Sdn. Bhd., dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd., maka segala kelengkapan dan peralatan mesti terkini, katanya.
 
 
Yang turut hadir Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib.
 
 
Mengenai Bangunan Makmal Mara-NI dan Blok Industri itu, Ahmad Jalaludin berkata, terdapat empat bahagian utama di kedua-dua bangunan baharu itu, antaranya menempatkan bahagian pentadbiran, dewan, asrama penuntut, bahagian bioperubatan, perpustakaan serta tempat latihan dan akademik selain menempatkan kemudahan dan peralatan baharu.
 
 
Beliau berkata, bangunan baharu itu mampu memuatkan 1,250 penuntut dalam satu masa dan antara keistimewaannya ialah dijadikan tempat untuk kajian dan penyelidikan melibatkan pakar-pakar dari syarikat terbabit.

 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: