TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Oktober 2013

LAPAN KEDAI MAKANAN KOTOR DIARAH TUTUP

ZAHARAH Mohd. Salleh (tengah) memberi nasihat kepada seorang pekerja mengenai kebersihan premis dan penggunaan penutup kepala dalam operasi di Pekan Sungai Mati, Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 11 Okt. - Pejabat Kesihatan daerah mengarahkan lapan kedai makan di sekitar pekan Bukit Kangkar, Sungai Mati dan Rawang di sini ditutup sementara kerana didapati tidak bersih dan dibimbangi boleh membahayakan kesihatan pelanggan.
 
Pegawainya, Dr. Zaharah Mohd. Salleh berkata, selain tidak bersih, pekerjanya juga memakai pakaian tidak sesuai seperti dikehendaki dalam peraturan penyediaan makanan.
 
"Lapan buah premis diberi notis arahan tutup kerana gagal menepati standard kebersihan ditetapkan yang termaktub dalam Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sehingga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko kepada pelanggan.
 
"Susulan arahan itu, pemilik atau pengendali makanan terbabit diberi tempoh dua minggu untuk memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan bersih sebelum pemeriksaan semula dilakukan," katanya selepas menjalankan operasi di kedai-kedai makan di sini semalam.
 
Operasi selama empat jam yang diketuai beliau itu disertai 21 kakitangan pejabat berkenaan bertujuan memastikan kedai makanan mematuhi syarat-syarat kebersihan yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Keselamatan Makanan 2009.
 
Zaharah berkata, selain notis tutup kedai, pihaknya turut memberi nasihat kepada pemilik premis supaya mengutamakan kebersihan bagi menepati piawaian yang ditetapkan Jabatan Kesihatan sekali gus mengelak daripada dikenakan tindakan.
 
Mengenai operasi itu beliau berkata, 22 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 10 premis dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983 sebagai usaha memberi kesedaran kepada mereka tentang aspek kebersihan bagi mengelakkan penyakit bawaan makanan.
 
Katanya, sebahagian besar premis yang diperiksa langsung tidak mematuhi peraturan dikeluarkan Pejabat Kesihatan dan tidak mengamalkan ciri-ciri kebersihan, terutama di bahagian dapur.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: