PENGUNJUNG SETIA

27 Oktober 2013

LEBIH 30 PERATUS PERNIAGAAN MASIH BELUM DIDAFTAR

LEDANG 26 Okt. - Lebih daripada 30 peratus perniagaan di negara ini belum didaftarkan dengan pelbagai agensi kerajaan menyebabkan berlaku kesukaran untuk membantu membangunkan sektor terbabit.

 
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, sehingga kini hanya 645,136 syarikat sudah didaftarkan iaitu mewakili 97.3 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
 
 
"Lebih 30 peratus daripada jumlah berkenaan atau kira-kira 220,000 perniagaan terutama dalam bidang tidak formal termasuk perniagaan secara dalam talian masih belum didaftarkan.
 
 
"Kita dapati kesedaran masih belum ada bagi peniaga dan usahawan ini untuk mendaftarkan perniagaan mereka yang menyukarkan kita untuk memberi pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro 2013 Parlimen Ledang, di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
 
 
Lebih 200 usahawan kecil di sini menyertai hari terbuka berkenaan yang dihadiri pelbagai agensi kerajaan selain ceramah oleh tokoh-tokoh perniagaan berjaya.
 
 
Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, kebanyakan perniagaan yang tidak didaftarkan itu membabitkan sektor pengeluaran, perkhidmatan dan perbankan.
 
 
Katanya, pemilik perniagaan itu perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan mendapat pinjaman dan pelbagai geran termasuk daripada kementerian yang boleh memberi pinjaman menerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) serta SME Bank.
 
 
Beliau berkata, bantuan tanpa mengira bangsa itu akan membantu menyediakan peluang mendapatkan modal, latihan dan pengurusan syarikat dengan beberapa skim yang disediakan mengikut kehendak serta perniagaan masing-masing.
 
 
"Sebagai contoh, pinjaman yang disediakan SME Bank membabitkan minimum RM50,000 hingga RM1 juta berdasarkan perniagaan yang dijalankan pemohon," katanya.

 
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2013

Tiada ulasan: