PENGUNJUNG SETIA

03 November 2013

JPJ KELUARKAN 287 SAMAN

Wartawan Sinar Harian
JPJ keluarkan 287 saman
 Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan membuat sekatan jalanraya di Jalan Pintasan Muar Bakar Batu (hala ke Muar).                 
                  
LEDANG – Sebanyak 898 kenderaan diperiksa dan 287 daripadanya dikenakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menerusi sekatan jalan raya dalam Ops Bersepadu di empat lokasi utama di Muar dan Ledang, kelmarin.

Pengarah JPJ Johor, Johari Yusof berkata, motosikal merupakan kenderaan tertinggi menerima saman iaitu 164 diikuti kereta (89), kenderaan berat (18), kenderaan persendirian (10), bas (3), kereta sewa (2) dan teksi (1).

“Kesalahan paling tinggi dilakukan ialah berkaitan lesen memandu terutama yang tamat tempoh, melibatkan 75 penunggang motosikal, kenderaan berat (12), kereta (19), kenderaan persendirian
(4) dan teksi (1).

“Sembilan kenderaan turut disita membabitkan enam motosikal dan tiga kereta,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Makan Malam Penguatkuasa JPJ Negeri di Stesen Penguatkuasa Kesang
(SPK), dekat sini.

Beliau berkata, sekatan jalan raya dilakukan di Jalan Muar-Melaka-Tanjung Gading hala ke Melaka, Batu 2, Parit Bunga, Ledang (hala ke Muar), kilometer 4, Parit Bunga, Ledang (hala ke Tangkak)
dan Jalan Pintasan Muar-Bakar Batu (hala ke Muar).

Jelasnya, operasi berkenaan turut melibatkan beberapa agensi lain seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, sebanyak 161 pemeriksaan dilakukan polis trafik dengan 64 saman dikeluarkan, Spad pula memeriksa 78 kenderaan dan 21 kesalahan dikesan, manakala AADK melakukan ujian air kencing terhadap 91 pemandu dan 12 daripadanya positif dadah.

“Jabatan Imigresen pula menahan lima daripada 40 warga asing yang diperiksa, manakala Puspakom hanya ada satu kes," katanya sambil menambah, seramai 144 petugas terlibat pada operasi itu.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 03 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: