PENGUNJUNG SETIA

06 November 2013

JOHOR TUTUP REBAN AYAM TERBUKA MENJELANG 2015

PAGOH 5 Nov. - Johor selaku pengeluar ayam daging terbesar negara akan menutup semua 1,147 kawasan penternakan ayam daging yang menggunakan kaedah reban terbuka secara berperingkat-peringkat sehingga 2015 bagi membolehkan kaedah reban ayam tertutup diamalkan sepenuhnya selepas itu.
 
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, langkah itu bertujuan supaya pengusaha mengamalkan sistem pertanian yang baik, berteknologi tinggi dan moden selain meningkat produktiviti dan menjaga alam sekitar.
 
 
"Langkah itu penting dalam menjaga kualiti mengikut standard dari segi keselamatan dan kebersihan kerana kita mengeksport hasil ayam ke Singapura, China, Asia Barat dan juga negara lain dan produk ayam kita memang terkenal dengan status halalnya.
 
 
"Kita tidak mahu lagi ladang ayam daging terbuka yang membawa banyak masalah seperti pembiakan lalat dan mencemar alam sekitar. Sehubungan itu, kita beri tempoh kepada penternak untuk menukar kepada kaedah reban ayam tertutup," katanya dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Balai Raya Kampung Ujung Tambak di Gersik, dekat sini hari ini.
 
 
Menurutnya, ketika ini jumlah reban ayam secara terbuka yang terbesar terdapat di Batu Pahat yang berjumlah 365 buah, diikuti Kluang (232), Ledang (100), Muar (91), Kota Tinggi (90), Kulaijaya (84), Johor Bahru (82) dan Segamat (33).
 
 
Bagi jumlah ladang pula, Ismail berkata, secara keseluruhan terdapat 830 buah dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 51 juta ekor ayam sebulan dengan hasil tertinggi daripada 232 ladang di Batu Pahat yang berkapasiti 17 juta ekor ayam sebulan.
 
 
"Pengeluar ladang ayam kedua tertinggi ialah dari 91 ladang di Kluang dengan pengeluaran kira-kira 9.9 juta ekor sebulan diikuti 145 ladang di Pontian kira-kira 6.6 juta ekor selain 123 ladang di Ledang dengan kira-kira 7.5 juta ekor sebulan," katanya.
 
 
Bagi ladang ayam tertutup yang sudah dilaksanakan di negeri ini, beliau berkata, terdapat 5,465 buah telah beroperasi dan paling banyak di Pontian (1,478) kemudian di Batu Pahat (1,095), Ledang (699), Kluang (665), Johor Bahru (413) dan selebihnya di daerah lain.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: