PENGUNJUNG SETIA

07 November 2013

ENAM RUMAH DILANDA BANJIR

Oleh ZULHISHAM ISAHAKutusanjohor@utusan.com.my


Abd. Razak Minhat (kiri) melawat salah sebuah rumah yang dilanda banjir kilat di Kampung Tok Karim, Tanjung Gading, Kesang, Ledang, semalam.

LEDANG 6 Nov. - Hujan lebat selama hampir empat jam menyebabkan enam rumah yang didiami kira-kira 30 penghuni di Kampung Tok Karim di Tanjung Gading, Kesang dekat sini dilanda banjir kilat petang semalam.
 
 
Air setinggi hampir setengah meter tersebut turut merosakkan perabot dan peralatan rumah lain dengan kerugian awal dianggarkan RM6,000.
 
 
Kesemua mangsa diletakkan dalam berjaga-jaga untuk berpindah sekiranya keadaan lebih buruk termasuk 10 buah rumah lain didiami kira-kira 50 penghuni di kawasan berdekatan yang turut berkemungkinan dinaiki air.
 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat yang melawat kawasan berkenaan berkata, lokasi yang rendah selain parit sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak menjadi punca banjir di kawasan itu.
 
 
Katanya, jika keadaan bertambah buruk, semua mangsa yang bekerja sebagai nelayan dan swasta akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gading.
 
 
"Untuk tindakan lanjut kita sudah berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik bagi tujuan keselamatan dan Pejabat Kesihatan bagi mengelak penyakit berjangkit atau wabak.
 
 
"Selain itu, langkah mendalam serta melebarkan laluan air di Parit Tok Karim, Parit Karang Barat, Parit Ponorogo dan Parit Rawang akan dilakukan segera," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir hari ini.
 
 
Yang turut mengiringi beliau ialah Penghulu Mukim Kesang, Abdul Majib Mistam; Ketua Kampung Tanjung Gading Barat, Jaafar Mohd. Salleh; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang, Rosly Aiman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani.
 
 
Abd. Razak turut menasihatkan semua mangsa dan penduduk lain yang berisiko dilanda banjir mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah selain menyimpan dokumen penting serta barangan berharga lebih awal.
 
 
Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain merosakkan harta benda dan tanaman, banjir tersebut juga menyebabkan kebun sawit seluas kira-kira 16.8 hektar milik penduduk ditenggelami air sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
 
"Terdapat antara 20 hingga 30 pengusaha kebun kelapa sawit di kawasan berkenaan tidak dapat memetik hasil berikutan kebun ditenggelami air dan mereka menanggung kerugian dianggarkan RM24,000," katanya.

 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: