TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 November 2013

RM300 JUTA PROJEK TEBATAN BANJIR

Ismail Mohamed
 
LEDANG 10 Nov. - Masalah tebing sungai Muar yang runtuh di beberapa kawasan akibat hujan lebat sejak dua minggu lalu akan diatasi dengan peruntukan RM300 juta pada tahun depan melalui kerja-kerja yang akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, projek itu termasuk dalam projek tebatan banjir fasa kedua dan antara kawasan yang mengalami hakisan ialah di Bukit Kepong dan Lenga di Pagoh.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, keadaan tersebut berlaku akibat arus deras dari bahagian hulu Sungai Muar yang terhasil daripada hujan lebat kebelakangan ini.


“Keadaan ini juga berpunca daripada kesan projek tebatan banjir fasa pertama di Segamat di sebelah hulu Sungai Muar yang berjaya mengalirkan air dengan lancar.


“Saya dapati paras air Sungai Muar di Bukit Kepong dan Lenga turut meningkat. Ini yang membimbangkan penduduk. Justeru, saya minta JPS segera melaksanakan projek tebatan tersebut di kawasan berkenaan," katanya mengulas keadaan itu yang termasuk dalam DUN Bukit Serampang.


Ismail berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri Gambir yang dihadiri kira-kira 4,000 masyarakat berbilang kaum di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini malam semalam.


Yang turut hadir ADUN Gambir, M. Asojan; ADUN Serom, Abd. Razak Minhat; Ketua MCA Bahagian Ledang, Goh Tee Tee dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Ab. Han Ramin.


Beliau berkata, paras air Sungai Muar di kawasan terbabit juga meningkat sejak kejadian itu dan secara tidak langsung meresahkan penduduk setempat yang kawasan rumah mereka berdekatan sungai atau berpotensi dilanda banjir.


Ismail berharap, JPS dapat memberi tumpuan mengatasi masalah tebing runtuh berkenaan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, apatah lagi musim tengkujuh sudahpun bermula.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2013


Tiada ulasan: