PENGUNJUNG SETIA

04 November 2013

JPJ KELUARKAN 287 SAMAN

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my


OPS Bersepadu melibatkan pelbagai agensi di Jalan Muar-Tanjung Gading, Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 3 Nov. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 898 kenderaan dan mengeluarkan 287 saman dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di empat lokasi utama di sekitar daerah ini dan Muar kelmarin.
 
 
Pengarah JPJ Johor, Johari Yusof berkata, motosikal merupakan kenderaan paling tinggi dikenakan saman iaitu 164, diikuti kereta (89), kenderaan berat (18), kenderaan persendirian (10), bas (tiga), kereta sewa (dua) dan teksi (satu).
 
 
"Motosikal adalah kenderaan paling banyak diperiksa iaitu 360 buah diikuti kereta (240), kenderaan berat muatan 5,000 kilogram (143), kenderaan persendirian (80), bas (35), teksi (25) dan kereta sewa (15).
 
"Kesalahan paling tinggi dilakukan ialah berkaitan lesen memandu terutama tamat tempoh iaitu 75 kesalahan membabitkan motosikal, kereta (19), kenderaan berat (12), kenderaan persendirian (empat) dan teksi (satu)," katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Makan Malam Penguat kuasa JPJ Negeri di Stesen Penguat kuasa Kesang dekat sini malam kelmarin.
 
 
Ops Bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi termasukpolis trafik, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
 
Sekatan jalan raya dilakukan di Jalan Muar-Melaka-Tanjung Gading hala ke Melaka; Batu 2, Parit Bunga, Ledang hala ke Muar; Kilometer 4, Parit Bunga, Ledang hala ke Tangkak dan Jalan Pintasan Muar-Bakar Batu hala ke Muar.
 
 
Johari berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak sembilan kenderaan turut disita iaitu enam motosikal dan tiga kereta.
 
 
"Kami turut mengesan 373 kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya iaitu 197 kesalahan membabitkan motosikal, 131 kereta, 16 kenderaan berat dan 29 lagi lain-lain kenderaan," katanya.
 
 
Dalam pada itu katanya, polis trafik turut mengeluarkan 64 saman hasil pemeriksaan terhadap 161 kenderaan dan SPAD memeriksa 78 kenderaan dan mengeluarkan 21 saman.
 
 
Beliau berkata, AADK yang membuat ujian air kencing terhadap 91 pemandu pula mendapati 12 daripadanya positif dadah, pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen pula membawa kepada penahanan lima warga asing dan Puspakom mencatatkan satu kes.

 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan: